Anda di sini

Pelajar UMS bakal nikmati menu makan berkualiti serendah RM3.50

Advertisement
 Kafeteria kolej kediaman UMS menyediakan menu makanan dengan harga siling RM3.50 kepada pelajar.
BERPATUTAN: Kafeteria kolej kediaman UMS menyediakan menu makanan dengan harga siling RM3.50 kepada pelajar.

KOTA KINABALU: Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula 15 Julai 2022.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau, usaha tersebut adalah sebagai menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS, dan telah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.

Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” katanya.
 
Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan. 

Selain itu, bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.

Langkah tersebut dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan di bawah inisiatif #UMSPeduli, pihak universiti akan meneruskan serta memperkasakan pelaksanaan program Food Bank Siswa UMS yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019. 

Terbaru, menerusi Pusat Islam UMS telah dilancarkan ‘Dapur Rahmah’ bagi menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam penyediaan jamuan untuk majlis atau program rasmi universiti. 

“Inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus.

“Untuk itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga telah mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” katanya.

Taufiq turut berharap orang ramai khususnya syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi luar untuk bersama-sama menyokong dan mengembangkan program Food Bank ini agar dapat memanfaatkan pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan keperluan makanan dan minuman seharian.

Advertisement