Anda di sini

Operasi SAR dua individu hilang diteruskan

Advertisement
 Pasukan bomba menggunakan bot bagi melakukan operasi SAR di kawasan sungai untuk mengesan kanak-kanak perempuan yang masih hilang.
SAR: Pasukan bomba menggunakan bot bagi melakukan operasi SAR di kawasan sungai untuk mengesan kanak-kanak perempuan yang masih hilang.
 Pasukan SAR menjalankan pencarian di kawasan sekitar permukaan sungai dan tebing Sungai Padas bagi mengesan mangsa lelaki yang hilang.
CARI: Pasukan SAR menjalankan pencarian di kawasan sekitar permukaan sungai dan tebing Sungai Padas bagi mengesan mangsa lelaki yang hilang.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meneruskan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua individu masih hilang masing-masing di Tenom dan Beaufort.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata pencarian membabitkan seorang mangsa lelaki berumur 25 tahun di Sungai Padas Panawan Kuala Tomani Tenom memasuki hari kelima.

Katanya kumpulan SAR dibahagikan kepada empat kumpulan dan operasi dijalankan di kawasan sekitar permukaan sungai dan tebing sungai.

“Operasi dilaksanakan dengan menggunakan bot penyelamat meliputi radius pencarian dua kilometer di kawasan seberang sungai dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Terdahulu mangsa dikenali sebagai Alphonius @ Ebon Ambabai hilang selepas menyeberangi sungai untuk menjalankan aktiviti menjala ikan sejak malam Sabtu lalu.

Sementara itu dalam operasi berasingan usaha SAR membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan bulan, Jude Angel Jeremy turut memasuki hari kelima.

Misran berkata operasi dimulakan seawal jam 9.21 pagi di sepanjang sungai berhampiran Kampung Saliwangan Baru Batu 66 Beaufort menggunakan bot.

Katanya pencarian turut dijalankan di kawasan belukar serta ladang kelapa sawit.

Mangsa dilaporkan hilang pada 9 Julai lalu semasa ibu bapanya ketika itu sedang berniaga di Tamu Beaufort dan anak mereka itu dijaga oleh neneknya.

Kehilangan mangsa disedari oleh neneknya selepas mendapati pintu rumah terbuka dan mangsa tidak kelihatan di sekitar kawasan rumah.

Semasa kejadian mangsa memakai baju berwarna putih dengan lambang kartun dan berseluar warna biru tua.

  • oleh
  • Advertisement