Anda di sini

Dirgahayu DBP - Api dari Suatu Zaman (Bahagian 2)

Advertisement
 

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

PELANTIKAN Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub sebagai Ketua Menteri Sarawak sesuai dengan pencapaian beliau semasa menjadi Timbalan Menteri dan Menteri di peringkat persekutuan. Penggubalan dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak pada masa ini masih belum mencirikan isu-isu yang ada di negeri Sarawak secara tuntas. Namun, jasa dan sumbangan besar Tun Abdul Rahman perlu dicatat sebagai orang yang bertanggungjawab dengan penubuhan Yayasan Sarawak, berperanan dalam mengangkat darjat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan strategi menentang ancaman komunis di Sarawak. Beliau juga mengesyorkan kepada kerajaan persekutuan agar menubuhkan syarikat minyak negara yang kemudiannya dikenali sebagai Petronas pada tahun 1974.
Bahkan semasa beliau sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1969, beliau membuat langkah berani dengan menukar bahasa pengantar untuk sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Beliau juga antara yang berperanan mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kredibiliti Tun Abdul Rahman dan hubungan baik yang sedia ada dengan kerajaan persekutuan memudahkan pentadbiran beliau di negeri Sarawak. Dasar dan polisi kerajaan persekutuan sedikit sebanyak turut mempengaruhi dasar dan polisi beliau di negeri Sarawak. Walau bagaimanapun, Tun Abdul Rahman bertindak bijak dengan merapatkan jurang kesenjangan politik berdasarkan kaum di negeri Sarawak. Prinsip gabung parti berdasarkan parti kaum dalam satu ikatan kepartian telah menjadi konsep sehingga kepimpinan masa kini. Kesinambungan kepimpinan Tun Abdul Rahman diteruskan oleh Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak. 
Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud popular dengan dasar dan polisi Politik Pembangunan yang digagaskannya. Gagasannya ini membuka satu episod baharu di negeri Sarawak. Hal ini bukan bermakna Ketua Menteri Sarawak sebelum itu tidak membawa apa-apa perubahan. Dasar dan polisi Politik Pembangunan secara drastik telah merangsang penggubalan dasar dan polisi lain sama ada mendukung skop Politik Pembangunan atau selaras dengan gagasan tersebut. 
Dasar Politik Pembangunan melihat aspek negeri Sarawak, sebagai negeri yang dilingkungi kawasan pedalaman yang sangat luas. Justeru Politik Pembangunan merangka bahawa jaringan perhubungan dan pengangkutan memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan kawasan atau bahagian, khususnya di luar bandar. Namun prosesnya agak panjang kerana dasar dan polisi pembangunan yang masih dikendalikan oleh kerajaan persekutuan. 
Sikap terbuka rakyat di Sarawak banyak membantu serta memudahkan usaha melaksanakan politik pembangunan. Semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum di negeri Sarawak menjadi nadi kestabilan politik dan memacu usaha sama tanpa memetak-metakkan pembangunan mengikut kaum.
Seperti yang kita sedia maklum, pada fasa pertama politik pembangunan, pembangunan di Sarawak adalah untuk memastikan kesemua penduduk di Sarawak dapat dihubungi biarpun melalui infrastruktur jalan yang tidak begitu baik. Pada fasa seterusnya, negeri Sarawak melalui gelombang kedua pembangunan yang bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat di negeri ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka. 
Pada gelombang kedua inilah wujudnya pelaksanaan program Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan mengeksploitasi potensi tenaga diperbaharui yang ada di Sarawak, seperti hidroelektrik untuk menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi. Usaha ini diteruskan dari semasa ke semasa dengan dasar dan polisi yang semakin menganjak kerelevanan kewujudannya
Pada fasa berikutnya, kerajaan negeri Sarawak melaksanakan program untuk memupuk minat generasi muda mengambil jurusan teknikal sebagai kerjaya mereka. Dasar dan polisi ini jelas untuk menjadikan negeri Sarawak maju dalam pemodenan yang canggih.
Peralihan pucuk kepimpinan di negeri Sarawak berlaku dalam suasana yang harmoni dengan penerimaan semua pihak. Penerimaan tanpa krisis ini sebenarnya tergambar pada aura Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Adenan Haji Satem itu sendiri. Kesantaian dalam wibawanya, serta kelangsungan tutur kata yang terselit makna menjadikan beliau muncul sebagai Ketua Menteri Sarawak yang popular.
Dasar dan polisi beliau lebih tertumpu pada hasrat untuk memastikan Sarawak maju dengan lebih cepat. Hal ini menyebabkan beliau “bertempur” dengan kerajaan persekutuan dari semasa ke semasa walaupun parti beliau sebahagian daripada gabungan persekutuan yang memerintah. 
Beliau bercakap secara terbuka mengenai mengukuhkan autonomi negeri Sarawak dan mengetengahkan isu royalti petroleum yang sepatutnya lebih tinggi dan wajar untuk negeri Sarawak, sesuai dengan terma-terma yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Beliau juga tidak bersetuju dengan dasar dan polisi kerajaan persekutuan yang dirasakan tidak signifikan dengan konteks kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Dasar keterbukaan beliau ini memberi impak baharu dalam politik negeri Sarawak, khususnya dalam kalangan pengundi berbangsa Cina. 
Bayangkan hanya setelah setahun pemerintahan, pelbagai langkah drastik juga telah diambil oleh beliau antaranya, menghentikan pengeluaran lesen balak dan tiada lagi pembukaan ladang kelapa sawit demi memelihara hutan. Bahkan beliau tegas memerangi habis-habisan pembalak haram dan mana-mana kilang yang bersekongkol dengan mereka. Selain itu, antara dasar dan tindakan beliau yang mendapat reaksi positif rakyat ialah usaha menghapuskan tol meliputi tol di Jambatan Tun Salahuddin di Kuching, Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN di Baram.
Selain itu, beliau turut mengarahkan penurunan tarif elektrik untuk keperluan domestik dan industri, pemansuhan cukai tanah dan penurunan cukai taksiran, menyalurkan peruntukan kepada sekolah Cina dan menyekat kemasukan pemimpin politik dari Semenanjung yang menggugat keharmonian antara kaum di Sarawak. Beliau turut mengisytiharkan tarikh 22 Julai sebagai cuti umum sempena hari kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British dan pada masa sama mengiktiraf Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa utama di negeri ini. Malah beliau yang begitu mementingkan keharmonian antara kaum turut menegaskan tiada isu mana-mana kaum dikatakan sebagai ‘kaum pendatang’ di Sarawak kerana bumi Sarawak adalah untuk semua rakyatnya. 
Kini, pucuk kepimpinan negeri Sarawak diteruskan oleh Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg dengan gelaran Premier Sarawak. Beliau bukanlah calang-calang pemimpin. Kewibawaannya, pengalaman politiknya dan dasar pentadbirannya dengan negeri Sarawak bukanlah perkara baharu pada beliau. Bahkan dasar dan polisi awal beliau adalah dengan mengutamakan kepentingan semua kaum di negeri ini.
Gagasan beliau “Sarawak Maju Menjelang 2030” berpaksikan pada kepentingan negeri Sarawak dan berlaku adil kepada semua kaum. Kejelasan prinsip beliau melalui pendekatan berpaksikan Sarawak dan bukan berdasarkan kaum sudah dipraktikkan sejak zaman Ketua Menteri Sarawak yang ketiga, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub sehinggalah sekarang. Maka, dasar dan polisi ini sedang berkembang dengan keperluan semasa dalam konteks pembangunan negeri Sarawak.
Dasar dan polisi ini meletakkan corak pemerintahan yang adil agar membolehkan kerajaan Sarawak mencapai pelbagai kejayaan dalam usaha untuk memperjuangkan hak negeri ini, khususnya usaha meneruskan tuntutan yang termaktub dalam perjanjian Malaysia 1963. Dalam usaha itu juga, beliau memastikan masyarakat luar bandar di negeri ini sentiasa terbela, terutama melalui projek-projek pembangunan luar bandar dan pedalaman yang diusahakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk meneruskan projek jalan pesisir pantai yang diilhamkan oleh Tan Sri Adenan Satem.
Maka, jelas dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak inginkan kepesatan merentasi semua peringkat sama ada di pedalaman, luar bandar, bandar atau kota. Justeru, gagasan Sarawak Negeri Maju Menjelang 2030 dengan memanfaatkan dasar dan polisi Ekonomi Digital sudah dan sedang berada pada landasan yang jelas dan betul. Hanya, usaha-usaha memperkasakannya perlu dilakukan melalui sisi-sisi pelbagai agensi, badan korporat dan sebagainya untuk merangka, melaksana dan memastikan semuanya berjalan lancar.

 

Peranan inilah salah satu kaedah merekayasa keintelektualan masyarakat melalui memperkasakan dasar dan polisi yang digagaskan. Karisma Premier Sarawak yang sedang giat membina dan membangun negeri Sarawak memerlukan keterlibatan pelbagai pihak untuk merealisasikannya. Sebagai contoh, perlunya menjadikan negeri Sarawak sebagai destinasi pelaburan terutamanya menerusi FDI (pelaburan langsung asing) dan juga DDI (pelaburan langsung domestik) di Malaysia.
Polisi “dasar mesra perniagaan” sebagai antara pendekatan yang menarik pelabur dengan menyediakan insentif-insentif, antaranya jika pelabur dapat menyiapkan projek dalam tempoh masa ditetapkan, mereka boleh diberikan rebat. Kerajaan negeri Sarawak juga melalui gagasan Premier Sarawak memperhebat pembangunan, mempercepat naik taraf sistem telekomunikasi dan mempertingkatkan prasarana industri 4.0 dari semasa ke semasa untuk menuju ke arah ekonomi digital.
Teras pada dasar dan polisi ini adalah untuk berusaha seiring dengan perubahan global, ke arah pembangunan lestari dan menyediakan infrastruktur kepada semua pihak. Apakah dasar dan polisi ini sudah ada dalam kerangka pelaksanaan projek atau program pada setiap agensi kerajaan, korporat, swasta, badan bukan kerajaan dan sebagainya di negeri Sarawak ini untuk dimanfaatkan? Bagaimana menyesuaikan dasar dan polisi ini dengan agenda masing-masing? 
Sarawak Maju pada 2030, pada hemat kerajaan negeri Sarawak adalah untuk memberi tumpuan dan penekanan terhadap pembangunan infrastruktur yang berterusan sama ada jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan sebagainya. Maka, asas yang kukuh untuk meneruskan pembangunan dan agenda membangunkan negeri Sarawak memerlukan kestabilan politik dan keutuhan kerajaan yang disokong oleh rakyat.
    Berdasarkan huraian terhadap perjalanan sejarah dan yang sedang berlaku serta gagasan masa depan sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat negeri Sarawak, asas perbincangan masih merangka usaha-usaha merekayasa keintelektualan melalui dasar dan polisi. Walau bagaimanapun, dasar dan polisi yang digubal oleh kerajaan negeri Sarawak memerlukan pengubahsuaian kaedah dan pendekatannya apabila hendak dilakukan oleh DBP Cawangan Sarawak.
    Konsep pengubahsuaian dasar dan polisi itu perlu memenuhi visi dan misi yang menjadi prinsip pentadbiran dan pengurusan oleh DBP Cawangan Sarawak. Maka, setelah bertapak selama 45 tahun di negeri Sarawak, DBP Cawangan Sarawak semestinya sudah maklum dan memahami aspirasi negeri Sarawak, khususnya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 yang hanya berbaki lapan tahun sahaja lagi dengan polisi Ekonomi Digital
    Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sebagai sebuah agensi bahasa, sastera dan penerbitan harus menyelaraskan tiga fungsi utamanya itu dengan teras ekonomi digital yang dijadikan sandaran pembangunan teknologi dan capaian maklumat. Dalam konteks bahasa, usaha DBP Cawangan Sarawak bukan hanya bersandarkan dengan Perkara 152, tetapi juga perlu menyelongkar hal-hal yang tersirat murni dalam perlembagaan tersebut. Isu bahasa bukan sahaja dijadikan alat komunikasi tetapi juga menjadi isu kesedaran tentang hak mutlak yang menjadi asas jati diri warga negara. Maka, asas jati diri itu perlu ditafsirkan dengan rasa bangga dan rasa pemilikan terhadap bahasa tersebut.
Justeru, usaha DBP Cawangan Sarawak yang kian giat mengali, mengkaji dan menyelidik bahasa-bahasa sukuan atau etnik sehingga diterbitkan sebagai buku daftar kata atau dijadikan kamus, dilihat sebagai satu agenda yang praktikal. Namun, dalam usaha merekayasa keintelektualan masyarakat, usaha berkaitan perlu dikembangkan dengan mengenal pasti istilah yang boleh dijadikan atau diserap ke dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Malaysia.
    Bidang bahasa tidak wajar terhenti dengan usaha-usaha kajian tanpa diketengahkan dalam pemodenan sama ada penggunaan atau pemerkasaan keintelektualan itu sendiri. Maka, hal-hal bahasa ini perlu dipertingkatkan secara menyeluruh dalam segala aspek keilmuan. Mungkin ada konsep kata atau istilah yang mempunyai nilai teknologi atau sains atau proses yang tiada dalam bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Sebagai contoh, situasi tidur sepanjang hari atau bangun lewat tidak ada istilah khusus dalam bahasa Melayu. Tetapi dalam konteks bahasa Melayu Sarawak, tidur sepanjang hari dan bangun lewat diistilahkan sebagai ngando
Maka, bidang bahasa di negeri Sarawak perlu meneroka nilai kejituan makna bagi istilah-istilah yang terdapat dalam pelbagai kaum untuk diselaraskan dengan penggunaan yang paling tepat berdasarkan situasi dalam bahasa Melayu. Usaha ini tidak ada jalan henti kerana bahasa yang dinamik perlu mempunyai mobiliti konsep makna dan pemaknaannya. Bahkan, dengan kepelbagaian bahasa daripada pelbagai kaum atau etnik, pelbagai konsep juga boleh ditemui dan dimanfaatkan.
Dalam bidang sastera pula, DBP Cawangan Sarawak perlu beranjak ke arah menghasilkan karya agung di peringkat negeri Sarawak. Karya agung ini perlu mengemukakan keperibadian negeri Sarawak sebagai negeri yang unik, indah dan permai. Kerajaan negeri Sarawak yang sentiasa mendukung pengiktirafan kepada karyawan di Sarawak melalui Anugerah Sastera Negeri Sarawak sewajarnya sudah memberi impak kepada kewujudan karya-karya yang bersifat besar dan utuh ini.
Bidang sastera perlu menjadi ruang untuk menjentik idea-idea baharu sama ada dalam konteks pembangunan fizikal, penggunaan teknologi dan penerokaan imaginasi yang logik untuk dijadikan bahan pengkaryaan. Ini bermakna, karya-karya di negeri Sarawak harus bersifat futuristik, di luar kotak pemikiran biasa dan memecah kebuntuan utopia yang radikal tetapi rasional. 
Bagaimana mahu melakukannya? Paling asas, peraduan penulisan yang menjurus pada tema yang berkaitan secara berterusan sehingga terhasil sebuah karya yang boleh kita sama-sama banggakan dan kita raikan. Usaha ini tidak boleh dilaksanakan secara bermusim tetapi perlu ada perancangan yang disesuaikan dengan dasar dan polisi yang digagaskan oleh kerajaan negeri. Sebagai contoh, sudah adakah peraduan atau sayembara penulisan yang bertemakan Ekonomi Digital? Kalau belum, mengapa? Persoalan ini wajar dihayati dan dicari jawapannya.
Idea-idea baharu perlu berasaskan sumber tradisi, yang muncul dalam kearifan sedia ada dalam setiap masyarakat kita. Ini bukan bermakna ilmu dari luar harus ditolak. Sebaliknya perlu disaring, ditapis dan diberi nafas dalam budaya kita. Ilmu harus menjadi fokus utama dalam pengkaryaan untuk mendukung setiap dasar dan polisi yang digagaskan oleh pemerintah. Hal ini penting kerana jika ilmu yang betul dan baik bertambah maka kejahilan akan berkurang. Maksudnya, pembaca mendapat nilai ilmu hasil pembacaan daripada sumber karya yang bermutu.
Begitu juga halnya dengan penerbitan. Bukan sahaja yang bersifat pengkaryaan tetapi juga penemuan sama ada hasil kajian, pertumbuhan ilmu semasa atau yang bakal dilaksanakan. Penerbitan kini bukan lagi hanya dalam bentuk yang ditemui melalui fizikal seperti buku sahaja tetapi sudah mampu tersebar dalam dunia maya agar mudah dicapai dan diperoleh.
Proses pembangunan penerbitan era kini memerlukan kerja-kerja kreativiti dan inovasi untuk dijana dan dipacu kepada masyarakat. Kesesuaian pendekatan e-buku atau e-majalah perlu juga divisualisasikan dengan dasar dan polisi yang sedia ada. Konsep e-buku atau e-majalah sepatutnya bukan penyalinan data fizikal dari buku ke paparan maya, tetapi perlu memaparkan konsep dan konteks yang lebih rasional, berpadan dan interaktif.
Maka, kaedah dan pendekatan semestinya memberi impak yang lebih berwibawa, bukan sekadar peralihan fizikal ke digital tetapi membuka ruang keilmuan yang boleh menjana penambahbaikan, pembaharuan dan kecanggihan. Dengan kata lain kaedah dan pendekatannya yang mesra pengguna, senang diakses, ringan tetapi padat, cepat tetapi cukup dan mampu merangsang pemikiran masyarakat secara langsung atau tidak langsung.
    Merekayasa keintelektualan masyarakat menjadi tanggungjawab semua pihak. Dengan kemampuan keintelektualan yang menjadi akal budi akan membuka jendela kesedaran tentang dasar dan polisi kerajaan yang bertujuan untuk kesejahteraan masyarakat itu sendiri. Kesedaran ini penting kerana menjadi nadi untuk terus mendenyut rasa kebersamaan, keinginan dan kebanggaan kita sebagai warga Malaysia yang bersatu padu, sepakat dan penuh toleransi.

 
 
Advertisement