Anda di sini

Jalankan tanggungjawab dengan penuh integriti: Robert

Advertisement
 Robert (depan dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Pegawai Pembangunan Daerah Keningau (DDO) Yamin Karinong (depan empat kiri); Ketua Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Keningau Lectus Fung (depan dua kiri) dan pemimpin masyarakat serta para penerima watikah di majlis itu.
ALBUM: Robert (depan dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Pegawai Pembangunan Daerah Keningau (DDO) Yamin Karinong (depan empat kiri); Ketua Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Keningau Lectus Fung (depan dua kiri) dan pemimpin masyarakat serta para penerima watikah di majlis itu.



KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik hadir menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada 11 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor yang diadakan di Pexoholic Event Space  Bandar Baru dekat sini kelmarin.


Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dalam ucapannya menekankan agar para pengerusi yang baru dilantik dapat menjalankan amanah dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.


“JPKK merupakan mata dan telinga kerajaan, justeru mereka haruslah mengambil peranan secara proaktif dan tidak mencampuradukan tugasan hakiki sebagai Pengerusi JPKK dan permasalahan peribadi.


“Tanggungjawab sebagai pengerusi adalah membantu rakyat masing-masing di kawasan yang diwakili dari segi pembangunan dan keselamatan serta kesejahteraan rakyat dibawah jagaan masing-masing.


“Pengerusi JPKK juga jangan bertindak sesuka hati tetapi hendaklah merujuk kepada pihak yang berkenaan seperti di Pejabat UPPM, Pejabat Daerah dan agensi yang berkaitan,” katanya.


Seterusnya Robert turut mengingatkan kepada semua Pengerusi JPKK agar sentiasa melibatkan diri dalam semua program kerajaan yang memerlukan kehadiran mereka serta sentiasa memberikan kerjasama dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan yang bersedia membantu.


“Segala permasalahan yang dihadapi haruslah dirujuk kepada pihak atasan dan yang berwajib dan bukannya melalui media sosial yang sudah tentu tidak akan membantu menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya akan memburukkan lagi permasalahan sedia ada,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement