Anda di sini

PIBG main peranan besar dalam perkembangan sekolah: Dr Fadilah

Advertisement
 Dr Fadilah (dua kanan) melancarkan tabung PIBG Fasa 1 sekolah sambil diperhatian oleh Ag Ghani dan Afendi di majlis itu.
LANCAR: Dr Fadilah (dua kanan) melancarkan tabung PIBG Fasa 1 sekolah sambil diperhatian oleh Ag Ghani dan Afendi di majlis itu.


KOTA KINABALU: Ibu bapa perlu menyedari betapa pentingnya peranan yang dimainkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dilihat sebagai satu penghubung di antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar.

 
Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Dr Fadilah Sabri berkata, PIBG bukan sahaja berperanan sebagai penghubung tetapi juga memainkan fungsi sebagai pemantau dan penilai terhadap perkembangan sekolah.


"Dalam erti kata yang lain ahli-ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum.


"Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (PIBG) 2022 Sekolah Kebangsaan (SK) Tobobon dekat sini kelmarin.


Hadir sama Guru Besar SK Tobobon Ag Ghani Haji Ag.Bakar; Yang Dipertua (PIBG) SK Tobobon Afendi Hadis, para guru serta barisan ahli jawatankuasa PIBG SK Tobobon.


Menurut Fadilah yang juga Ketua Puteri UMNO Sabah, selain daripada itu, sumbangan moral juga merupakan faktor penting yang dilihat membantu mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.


Jelasnya, antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya.


Fadilah memberitahu, empat fungsi PIBG untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan persatuan yang dinyatakan di Perenggan 3 Akta Pendidikan 1996 seperti membantu dalam memajukan perkembangan pelajar dan menjaga kebajikan pelajar, menambahkan sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah, meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat serta meningkatkan keceriaan premis sekolah bagi mewujudkan suasana kondusif menjayakan aktiviti dan program pendidikan.


Katanya lagi, Kementerian Pendidikan turut mewujudkan sarana ibubapa dan sarana sekolah sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak yang berkepentingan termasuk ibubapa dan masyarakat bagi melahirkan modal yang berkualiti dan global melalui sekolah.


Katanya, sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar, seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik.


"Di bawah program sebegini, dan Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada, " katanya.


Tambah Fadilah, KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku.


"Pada era 'new new media' ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.


"Sudah tiba masanya Yang Dipertua PIBG, Guru Besar, guru dan ibu bapa bijak mengaplikasi kekuatan medan komunikasi media baharu sebagai daya tarikan interaktif kepada ibu bapa masa kini demi kelangsungan kecemerlangan PIBG.


"Ianya merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah selain interaksi langsung antara guru, sekolah dan ibu bapa untuk mengetahui perkembangan serta kemajuan pendidikan anak-anak mereka di sekolah.


Dalam perkembangan lain, Dr Fadilah yang juga Ketua Puteri UMNO bahagian Sepanggar turut menyarankan PIBG menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah.


Katanya, tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu.


"Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan.


"Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimumkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan," katanya.


Di samping itu tambah Dr Fadilah, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah.


"Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling.

 
"Melalui kegiatan seperti ini diharapkan pelajar akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi," jelas Fadilah.

 

  • oleh
  • Advertisement