Anda di sini

Bagnaia raja MotoGP Belanda

Advertisement

ASSEN: Pelumba dari Itali, Francesco Bagnaia memenangi perlumbaan MotoGP Belanda pada Ahad untuk mengembalikan saingan kejuaraan dunia selepas pendahulu keseluruhan kategori pelumba, Fabio Quartararo, terbabas keluar dari perlumbaan yang penuh dengan insiden.

Quartararo terbabas dua kali dengan kemalangan kedua menyaksikannya melambung sedikit di udara namun kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bagnaia berjaya mengelak sebarang masalah dengan jentera Ducati untuk meraih kemenangan ketiga musim ini dan mengalu-alukan kutipan mata penuh selepas gagal menamatkan dua perlumbaan terakhir.

"Saya berasa sangat gembira selepas dua perlumbaan sukar di mana kami cukup kompetetif tetapi gagal mendapat sebarang manfaat," katanya.

Ia juga hari yang hebat untuk pelumba dari Itali apabila Marco Bezzecchi yang menunggang untuk pasukan miliki legenda sukan bermotor, Valentino Rossi, VR4 6, menduduki tempat kedua sementara pelumba dari Sepanyol, Maverick Vinales menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada perlumbaan ke-11 dari 20 perlumbaan musim ini.

Quartararo mengekalkan pendahuluan keseluruhan kategori pelumba menjelang rehat musim panas dengan kelebihan 21 mata berbanding pencabar terdekat, Aleix Espargaro, yang menduduki tempat keempat pada Ahad.

Pelumba dari Perancis itu terbabas pada pusingan kelima dan kemudian di pusingan ke-13.

Bagnaia (kanan) mendahului Marco Bezzecchi pada perlumbaan MotoGP Belanda di litar TT Assen, kelmarin . - Gambar AFP
Bagnaia (kanan) mendahului Marco Bezzecchi pada perlumbaan MotoGP Belanda di litar TT Assen, kelmarin . - Gambar AFP

Walaupun kembali segera ketika terbabas kali pertama, dia kelihatan mengalah selepas terbabas kali kedua.

Quartararo bermula hambar dan dipintas oleh pelumba pasukan Aprilia, Esprgaro.

Dan ketika cuba untuk merampas kembali kedudukan di tempat kedua, dia hilang kawalan dan terbabas kali pertama, menyebabkannya kembali di kelompok bawahan.

Tetapi selepas beberapa pusingan kedua, dia sekali lagi terbabas dan kali ini melambung sedikit menyebabkannya berputus asa untuk meneruskan perlumbaan.

"Saya melakukan kesilapan mudah. Saya mengasak seperti ia pusingan terakhir," kata Quartararo ketika merujuk kali pertama dia terbabas dan berkata ada sesuatu tidak kena dengan jenteranya.

Selepas perlumbaan, dia meminta maaf kepada Espargaro kerana menyebabkan pesaingnya terkeluar sedikit dari litar pada pusingan kelima.

Insiden itu menyebabkan Quartararo akan dihukum pada perlumbaan seterusnya  Grand Prix British kerana hampir menyebabkan kemalangan.

Ia adalah kali pertama sejak 1996 di mana pasukan Yamaha gagal mengutip sebarang mata di Assen.

Bagi Bagnaia, menamatkan perlumbaan di tempat pertama adalah perubahan nasib yang dialu-alukan selepas mengisytiharkan sebelum perlumbaan bahawa dia berasa takut untuk gagal menamatkan perlumbaan sekali lagi.

Ini adalah kali keempat dalam enam perlumbaan dia bermula di petak pertama tetapi gagal menamatkan perlumbaan dalam tiga dari empat perlumbaan terakhir.

Menjelang perlumbaan Grand Prix British pada 7 Ogos, Bagnaia naik ke kedudukan keempat keseluruhan, merapatkan jurang di belakang Quartararo dengan kurang 66 mata.

Di tempat ketiga keseluruhan ialah Johann Zarco, yang berkata dia mengharungi hari yang sukar selepas hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-13. - AFP

Advertisement