Anda di sini

Unimas berpotensi hasilkan pakar bantu atasi krisis bekalan makanan mentah

Advertisement

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berpotensi memainkan peranan menghasilkan pakar dalam bidang pertanian moden yang semakin diperlukan berikutan krisis bekalan makanan mentah yang berlaku di negara baru-baru ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya komitmen daripada warga serta graduan universiti itu diperlukan bagi menzahirkan hasrat kerajaan dalam membantu menghasilkan kepakaran dalam bidang ini.

"Kerajaan memerlukan anda semua untuk menterjemahkan komitmen ini ke dalam kehidupan harian anda, dan memacu kelestarian kepakaran anda ke dalam bidang masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas di sini, hari ini.

Abang Johari bersama barisan akademik Unimas pada majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas di Kota Samarahan, hari ini.
Abang Johari bersama barisan tenaga akademik Unimas pada majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas di Kota Samarahan, hari ini. - Gambar JaPen.

Beliau yang juga Pro-Canselor Unimas berkata memandangkan Sarawak mempunyai tanah yang luas, negeri itu seharusnya boleh menjadi pengeksport makanan dan bukannya pengimport makanan.

“Kemajuan teknologi dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, graduan seharusnya menjadi lebih kreatif serta sentiasa mencari peluang dan jalan penyelesaian dalam situasi yang bakal dihadapi,” katanya.

Abang Johari turut mengajak graduan Unimas untuk bekerjasama untuk merealisasikan masa depan negara menjelang 2030.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3,695 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian.

Konvokesyen Komemoratif Unimas menyaksikan seramai 3,695 orang graduan memperolehi ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Doktor Falsafah (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda.

Konvokesyen Komemoratif ini adalah meraikan graduan pada tahun 2020 yang layak bergraduat namun istiadat konvokesyen tidak dapat diadakan secara bersemuka disebabkan pandemik COVID-19.

Secara keseluruhan, jumlah graduan pada konvokesyen Komemoratif UNIMAS kali ini melibatkan 195 graduan PhD dan Sarjana, manakala 3,500 graduan menerima Sarjana Muda.

Dalam sidang pertama hari ini, turut disempurnakan ialah penyampaian anugerah-anugerah akademik seperti Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor dan Anugerah Pro-Canselor.

Pemilihan ini mengambil kriteria graduan yang terpilih menerusi kecemerlangan mereka dalam akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian di universiti ini.

Advertisement