Anda di sini

Kanak-kanak lelaki ditemui lemas di tasik

Advertisement
Anggota bomba bersama ahli keluarga mangsa sedang berusaha melancarkan operasi mencari mangsa lemas di sekitar tasik.
Anggota bomba bersama ahli keluarga mangsa sedang berusaha melancarkan operasi mencari mangsa lemas di sekitar tasik.

SARIKEI: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati lemas di sebuah tasik berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tiong Ho, Jalan Kin San, dekat sini, malam tadi.

Mangsa,  Terry Leon Zi Jun, 12, ditemui terapung oleh ahli keluarganya di tasik terbabit pada jam 12.30 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihak bomba Sarikei telah menerima laporan awal berkaitan kejadian tersebut pada jam 8.35 malam sebelum bergerak ke lokasi untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Berdasarkan maklumat awal, dalam kejadian tersebut, mangsa dipercayai sedang mandi bersama rakannya di tasik tersebut dan dilaporkan lemas.

"Hasil pencarian awal di lokasi kejadian, pihak bomba turut menjumpai selipar yang dipercayai milik mangsa di tepi tasik tersebut," kata Mahmudin ketika dihubungi media, hari ini.

Operasi SAR dilancarkan dengan cara 'surface searching', namun terpaksa dihentikan pada jam 10.30 malam setelah tiada petunjuk baharu ditemui.

Pasukan bomba telah memutuskan untuk melancarkan SAR seterusnya pada hari ini (Isnin) disebabkan faktor keselamatan.

Menurut Mahmudin, pada jam 12.30 malam, pihak bomba telah menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan mayat mangsa ditemui terapung oleh ahli keluarganya berhampiran sebuah jentera pengorek di tebing tasik berkenaan.

"Berikutan pengesahan penemuan mayat tersebut oleh pihak polis, operasi SAR terhadap mangsa terbabit telah diisytiharkan tamat pada jam 1 pagi," ujar Mahmudin lagi.

  • oleh
  • Advertisement