Anda di sini

Promosikan Tawau sebagai ‘Syurga Makanan’

Advertisement
 Jafry (tengah) semasa mengadakan lawatan kerja di MPT, di sini pagi tadi.
LAWAT: Jafry (tengah) semasa mengadakan lawatan kerja di MPT, di sini pagi tadi.

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) diminta untuk membangunkan industri pelancongan yang berasaskan makanan atau pelancongan gastronomi di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata daerah Tawau sangat terkenal dengan status sebagai ‘Syurga Makanan’ dalam kalangan pelancong luar.

“Kita mahu menarik pelancong untuk datang ke Tawau dengan merasai atau menikmati makanan yang dijadikan sebagai ‘trademark’ sesuatu kawasan,” katanya.

Katanya, masyarakat Tawau yang terdiri daripada pelbagai etnik boleh mewujudkan variasi citarasa makanan tersendiri dan melambangkan tradisi mahupun adat resam yang diamalkan.

“Sebagai contoh, suku Bugis cukup dikenali dengan pelbagai adat dan tradisi termasuklah jenis-jenis makanannya yang boleh dijadikan tarikan pelancong luar datang ke Tawau.

“Makanan seperti Burasak, Barobok, Tumbu dan banyak lagi bukan sahaja rasanya yang sedap, malah cara pembuatannya juga unik,” katanya  

Jafry yakin, usaha menarik pelancong untuk datang menikmati makanan adalah menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di daerah ini.

Di samping itu, katanya, bagi mengukuhkan lagi produk pelancongan gastronomi, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) juga perlu terus dibangunkan.

Menurutnya, Tawau mempunyai kelebihan pusat pelancongan yang tersendiri khususnya dari segi kekayaan biodiversiti alam semulajadinya.

“Antara tempat menarik yang kini sedang dinaiktaraf kemudahan infrastrukturnya adalah termasuk Batu Bersusun, Rumah Api Tinagat dan beberapa tempat lagi.

“Dengan kepelbagaian produk pelancongan ini, pastinya Tawau tidak hanya menjadi tempat persinggahan pelancong, tetapi impian untuk menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu lawatan kerja di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini pagi tadi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah; Presiden MPT, Pang Pick Lim@Joseph dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu juga, sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan di Tawau turut berlangsung bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi selain bertukar pendapat mengenai hala tuju pelancongan berasaskan komuniti.

  • oleh
  • Advertisement