Anda di sini

Fahami pemansuhan subsidi minyak masak, Nanta tepis dakwaan kerajaan aniaya rakyat

Advertisement
Nanta ketika ditemui pemberita menasihati rakyat agar tidak keliru mengenai pemansuhan subsidi minyak masak yang diumumkan kerajaan.
Nanta ketika ditemui pemberita menasihati rakyat agar tidak keliru mengenai pemansuhan subsidi minyak masak yang diumumkan kerajaan.

KUCHING: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi menepis dakwaan kononnya kerajaan menganiaya rakyat susulan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menurutnya, kerajaan sebaliknya masih mengekalkan subsidi minyak masak peket satu kilogram (kg) yang dilihat membantu golongan memerlukan serta berpendapatan rendah.

Malahan katanya, kerajaan menarik balik subsidi dalam botol berkenaan kerana mendapati ia tidak begitu membantu golongan memerlukan, selain penyalahgunaan pembelian oleh mereka yang tidak sepatutnya.

“Bahkan kerajaan menambahkan subsidi bagi minyak masak peket RM2.50 satu kg (polybag) ini, maka tidak betul jika ada yang mengatakan kerajaan tidak prihatin atau menganiaya rakyat.

“Apa yang disubsidi iaitu minyak masak dalam polybag ini untuk keperluan semua rakyat, lebih-lebih lagi berpendapatan rendah dan memerlukan,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan outlet kedua One Stop Superstore di Kuching Sentral di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pada tahun 2020 sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM400 juta hingga RM500 juta untuk kegunaan subsidi minyak masak mengikut harga pasaran global, iaitu ketika harga minyak sawit mentah (CPO) masih pada tahap rendah.

Bagaimanapun, kini harga CPO telah melonjak untuk satu tan metrik dan dengan itu, kerajaan telah menambahkan subsidi minyak masak.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, bagi kuota pembelian minyak juga masih tinggi iaitu 60,000 metrik tan sebulan bagi tujuan subsidi minyak kepada rakyat.

“Dari Januari tahun ini sehingga sekarang, kerajaan dalam bantuan dan subsidi sudah membelanjakan lebih RM1 bilion iaitu berapa kali ganda meningkat dan diunjurkan kemungkinan RM3 bilion sampai hujung tahun ini sekiranya harga CPO kekal tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai harga siling ayam, Nanta berkata, buat masa ini perbincangan dan rundingan bersama pemain industri sedang dijalankan bagi memastikan tahap harga ayam yang sepatutnya diletakkan nanti.

“Kami di kementerian berperanan dalam penguatkuasaan, maka kami juga terlibat dalam rundingan. Pagi tadi terdapat mesyuarat diadakan di Kuala Lumpur di mana pegawai atasan KPDNHEP juga terlibat,” katanya.

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan.

Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca daripada kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.
 

  • oleh
  • Advertisement