Anda di sini

MAFI pantau kos pengeluaran makanan termasuk bahan api

Advertisement
 

JERTIH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa memantau kos pengeluaran makanan termasuk kos bahan api seperti diesel bagi memastikan perubahan harga tidak menjejaskan sektor makanan negara terutama subsektor perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagaimanapun berkata bahan api untuk kegunaan nelayan Kelas A, B dan C masih diberi subsidi oleh kerajaan dan pemberian subsidi itu dimulakan sejak tahun 2006.

Ronald berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2022 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Pekan Jabi, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ronald berkata stok bekalan ikan dalam negara adalah mencukupi meskipun ia bergantung kepada faktor cuaca.

Ditanya mengenai harga makanan laut itu yang tidak menentu, beliau berkata ia merupakan situasi biasa yang bergantung kepada faktor bekalan dan permintaan.

“Kadang-kadang ikan berlebihan dan ada ketika ikan sedikit kurang yang menyebabkan turun naik harga bekalan ikan di negara kita. Jadi ketika musim ikan banyak, tentu harga turun dan bila ikan sikit harga akan naik,” katanya. - BERNAMA 

Advertisement