Anda di sini

Guna bahasa Inggeris bukan menidakkan bahasa ibunda

Advertisement

Keputusan ini satu pendekatan untuk memperluaskan daya komunikasi di peringkat antarabangsa: Hasidah

Sharifah Hasidah (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Sasterawan Negeri Sarawak Kelima Zainal Abidin Suhaili yang juga merupakan ahli panel Wacana 45 Tahun DBP Cawangan Sarawak. Turut kelihatan Abang Haliman (kiri). 
Sharifah Hasidah (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Sasterawan Negeri Sarawak Kelima Zainal Abidin Suhaili yang juga merupakan ahli panel Wacana 45 Tahun DBP Cawangan Sarawak. Turut kelihatan Abang Haliman (kiri). 

“Sebagai negeri yang sedang membangun, kita memerlukan komunikasi yang efektif untuk menghubungkan kita dengan pelbagai sektor dalam dan luar negara demi mencapai matlamat kita.” 

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) 

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Keputusan Sarawak mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam perkhidmatan awam bukan bermaksud menidakkan kepentingan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu. 

Tegas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, keputusan ini adalah satu pendekatan untuk memperluaskan daya komunikasi di peringkat antarabangsa. 

“Sebagai negeri yang sedang membangun, kita memerlukan komunikasi yang efektif untuk menghubungkan kita dengan pelbagai sektor dalam dan luar negara demi mencapai matlamat kita. 

“Sebagai contoh dalam pembangunan ekonomi digital, sudah tentu kita memerlukan kerjasama negara-negara yang lebih maju dari segi teknologi digital. 

“Maka di situlah kita memerlukan komunikasi yang meluas di peringkat antarabangsa demi membantu kita dari sudut pelaburan teknologi contohnya untuk mencapai pembangunan yang berkesan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana 45 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sempena Ulang Tahun Ke-45 DBP Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Malaysia Dr Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai serta yang lain. 

Tambah Sharifah Hasidah, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dan peranan DBP Cawangan Sarawak. 

Sebagai tanda sokongan, sejumlah peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan negeri kepada DBP Cawangan Sarawak sebelum ini bagi melaksanakan beberapa program kebahasaan, kesusasteraan, kajian berkaitan dengan bahasa sukuan, kebudayaan, sastera lisan dan sejarah Sarawak serta penerbitan khas berkaitan kearifan tempatan Sarawak. 

“Saya berharap DBP dapat melipatgandakan usaha menerbitkan buku serta penyelidikan tentang bahasa sukuan, sastera etnik dan budaya negeri Sarawak. 

“Kita berharap dengan adanya banyak hasil penulisan dan kajian tentang budaya, adat isitiadat dan sastera setempat akan mampu memperlihatkan ketinggian akal budi orang-orang kita,” katanya. 

Melihat sumbangan diberikan DBP Cawangan Sarawak sejak penubuhannya pada 1977, kerajaan negeri menurut Hasidah telah memberikan kepercayaan penuh kepada DBP Cawangan Sarawak bertindak sebagai urus setia pelaksana Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS). 

ASNS katanya, merupakan satu projek terulung kegiatan kesusasteraan di bawah naungan negeri Sarawak. 

Setelah 10 kali penganjurannya, lima penulis kelahiran negeri ini telah diberi pengiktirafan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak. 

Dengan adanya pengiktirafan tertinggi seperti ini, secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan taraf dan kemajuan sastera kebangsaan serta meningkatkan imej, prestasi bidang kesusasteraan dan penulisan. 

Advertisement