Anda di sini

Bursa Malaysia Derivatives Bhd selesaikan serahan fizikal pertama FEPO di Sarawak

Advertisement
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Derivatives Bhd menyelesaikan serahan fizikal pertama bagi kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) dengan 10 kontrak, mewakili urus niaga 250 tan minyak sawit mentah (MSM) di satu daripada Pemasangan Tangki Pelabuhan (PTI) yang diluluskan di Bintulu, Sarawak.

Menurut bursa, PTI itu dioperasikan oleh Biport Bulkers Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings iaitu syarikat senaraian awam yang menguruskan dan mengendalikan terminal pukal minyak sayuran yang memenuhi keperluan industri minyak sawit yang semakin pesat berkembang di Sarawak.

Serahan fizikal pertama itu diselesaikan pada 10 Jun lepas, jelasnya.

“Serahan fizikal di bawah kontrak FEPO berjaya dilakukan di kesemua tiga PTI di Malaysia Timur iaitu di Sandakan, Lahad Datu dan Bintulu,” tambahnya dalam kenyataan pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Samuel Ho berkata FEPO yang dilancarkan pada Oktober 2021 itu bertujuan menyediakan instrumen berkesan untuk pemain fizikal dan peserta dalam pasaran minyak sawit Malaysia Timur menguruskan risiko harga khususnya ketika persekitaran mengalami turun naik yang amat ketara.

“Saya gembira menyaksikan kejayaan serahan fizikal pertama di Sarawak, yang menunjukkan pengiktirafan industri terhadap FEPO sebagai platform bagi penentuan harga alternatif di Malaysia Timur,” katanya.

Pasaran niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia merekodkan peningkatan penyertaan susulan ketidaktentuan harga minyak sawit baru-baru ini dan kontrak FEPO mencapai jumlah dagangan harian tertinggi baharu sebanyak 186 kontrak, bersamaan dengan 4,650 tan MSM pada 6 Mei, 2022.

Menurut bursa, Bursa Malaysia Derivatives merupakan bursa pertama di dunia yang menawarkan kontrak derivatif komoditi diserahkan secara fizikal dengan keperluan mampan mandat untuk serahan.

“Semua serahan fizikal dilakukan mengikut kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan FEPO mesti bersumberkan kilang minyak sawit yang mematuhi Pensijilan Pengurusan Minyak Sawit di bawah keperluan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

“Komitmen ini sejajar dengan usaha bursa untuk menggalakkan pembangunan mampan menerusi tawaran produknya dan meliputi seluruh rantaian nilai,” jelasnya. - BERNAMA

Advertisement