Anda di sini

Bursa Malaysia mahu PLC membangunkan pendekatan ESG yang lebih terperinci

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Syarikat senaraian awam (PLC) perlu membangunkan pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih terperinci, menurut buku panduan yang dilancarkan oleh Bursa Malaysia Bhd semalam. 

"Ini termasuk melaksanakan tadbir urus yang lebih baik selain pengurusan prestasi alam sekitar serta sosial yang lebih berkesan dengan menerima pakai amalan ESG yang mantap merentasi fungsi utama organisasi," kata bursa dalam satu kenyataan.

Buku panduan (Buku Panduan 2), bertajuk "Sustainable, Socially Responsible and Ethical PLCs”, adalah yang kedua dalam siri lima buku panduan Program Transformasi PLC. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata PLC perlu menangani kebimbangan ESG kritikal yang memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka serta kemakmuran jangka panjang.

"Bidang tumpuan kritikal termasuk menangani risiko berkaitan iklim yang material serta menguruskan impak alam sekitar atau sosial utama seperti hak asasi manusia dan amalan buruh. 

"Terdapat keperluan mendesak bagi mengukuhkan akauntabiliti di kalangan pengurusan kanan dan pengarah," kata Muhamad Umar, yang menjadi moderator panel interaktif semasa pelancaran buku panduan itu. 

Menurutnya, pelabur hari ini melihat syarikat-syarikat melangkaui pasaran dan nilai kewangan intrinsik mereka.

"Kegagalan untuk memenuhi pematuhan ESG mengakibatkan kerosakan reputasi yang boleh menjejaskan kredibiliti syarikat," katanya.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata Buku Panduan 2 Program Transformasi PLC berfungsi sebagai bantuan berguna bagi syarikat dalam meningkatkan amalan terbaik ESG di seluruh organisasi mereka.

"Bursa amat menggalakkan PLC untuk meningkatkan penggunaan amalan terbaik yang terkandung dalam siri buku panduan tersebut, yang mencerminkan jangkaan daripada pihak-pihak berkepentingan," tambahnya.

Pada 2 Mac 2022, Bursa Malaysia melancarkan Program Transformasi PLC, pada acara yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dengan objektif untuk membantu meningkatkan kedudukan Korporat Malaysia serta meningkatkan daya tarikan PLC di Malaysia. 

Penggunaan amalan terbaik dan program perkongsian maklumat akan berterusan sehingga 2025.

Buku panduan digital pertama dan kedua program ini boleh dimuat turun melalui laman web Bursa Malaysia. - BERNAMA
 

Advertisement