Anda di sini

Program Mahkamah Bergerak bantu selesaikan masalah penduduk kurang berkemampuan

Advertisement
 Jonathan (dua kiri) menunjukkan isyarat 'bagus' semasa menghadiri program yang diadakan di SK.Kaingaran di sini.
HADIR: Jonathan (dua kiri) menunjukkan isyarat 'bagus' semasa menghadiri program yang diadakan di SK.Kaingaran di sini.

RANAU: Program Mahkamah Bergerak yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kaingaran di sini mendapat perhatian warga daerah ini  terutama penduduk kampung yang tinggal di kawasan terpencil.

Inisiatif anjuran Mahkamah Sabah itu berjaya mencapai sasaran apabila penduduk kampung yang kurang berkemampuan berjaya menyelesaikan urusan berhubung pendaftaran sijil kelahiran lewat tanpa perlu pergi jauh ke bandar.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Nixon Kennedy Kumbong yang mengetuai program itu berkata sepanjang program dijalankan sejumlah 82 kes dibicarakan termasuk 25 kes yang baharu didaftarkan.

“Pada program ini juga seramai 12 peguam dari Persatuan Peguam-Peguam Sabah dan Unit Mekar (Jabatan Pendaftaran Negara Bergerak Khas Kota Kinabalu) turut serta dalam aktiviti ini.

“Turut mengambil bahagian 12 orang SLS bagi memberikan perkhidmatan nasihat undang-undang secara percuma kepada masyarakat setempat dan empat wakil NGO termasuk Lexis Nexis dari Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya kesemua kumpulan ini datang untuk meninjau dan menilai aspek bantuan yang boleh disalurkan untuk kemudahan murid di SK Kaigaran. 

“Sejumlah alat tulis dan buku untuk murid turut disumbangkan melalui Guru Besar SK Kaingaran.

“Pada masa sama Pasukan 4x4 turut hadir bagi membantu pengangkutan pegawai dari Mahkamah Kota Kinabalu dan Ranau selain menyumbangkan bekalan makanan kepada penduduk kampung yang menghadiri program itu,” katanya.

Nixon berkata pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Daerah Ranau, Ketua Polis Daerah Ranau, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Guru Besar SK Kaingaran yang membolehkan program itu diadakan.

“Selain itu, kami juga berterima kasih kepada Bahagian Perhubungan Parlimen Ranau dan Pejabat ADUN Kundasang UPPM, SLS, Lexis Nexis, Pasukan 4x4, Ketua Orang Asli, JPPK semua kampung yang terlibat, dan RELA atas kerjasama dan bantuan yang diberikan untuk menjayakan program tersebut yang mencatatkan satu kejayaan.

“Akhir sekali, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ahli Parlimen Ranau merangkap Timbalan Menteri II Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin yang turut hadir pada program meninjau kaunter perkhidmatan Mahkamah, SLS, JPN dan NGO,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Kaingaran Ranau, Dr Atong Antong berkata manfaat yang diperolehi daripada program itu memberi inspirasi kepada penduduk di sini terutama aspek memiliki dokumen pengenalan diri.

“Secara peribadi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen semua pihak khususnya Mahkamah Bergerak Ranau, JPN Persekutuan KK dan JPN Daerah Ranau di atas inisiatif dan keprihatinan mereka dalam menjaga penduduk luar bandar Ulu Sugut.

“Mereka melaksanakan kerja cemerlang dalam pendaftaran Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan, sememangnya kemudahan sebegini amat bermanfaat sekali gus membantu meringankan kos, masa dan beban tenaga pemohon yang berurusan di Pejabat Pendaftaran JPN Ranau,” katanya.

Dr Atong menyarankan agar usaha seperti ini diteruskan dan beliau berharap objektif Mahkamah dan JPN dalam usaha ini akan memberi impak positif dan mencapai sasarannya.

“Kami semua warga SK Kaingaran, Mukim Kaingaran dan Zon Ulu Sugut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Program Gelanggang Bergerak Sabah yang telah berlangsung dengan jayanya pada 26 hingga 27 Mei 2022 di SK Kaingaran,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement