Anda di sini

Malaysia, Jepun muktamadkan tiga MOC di Tokyo

Advertisement

TOKYO: Malaysia dan Jepun memuktamadkan tiga memorandum kerjasama (MoC) iaitu berkaitan bidang industri pesawat, pekerja mahir, serta belia dan sukan di ibu negara Jepun pada Jumaat.

Majlis pertukaran MoC itu berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri (gambar) dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

 

Ismail Sabri dan Kishida sebelum itu mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu penting hubungan Malaysia-Jepun, sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun.

Di pihak Malaysia, pelaksanaan MoC itu diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi industri pesawat, pekerja mahir diterajui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi belia dan sukan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata MoC industri pesawat itu merupakan satu kerjasama antara Malaysia dan Jepun, untuk memperkasakan aktiviti aeroangkasa. 

Beliau berkata antara aktiviti yang akan terlibat ialah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan juga aktiviti hiliran aeroangkasa.

“Ia akan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri berkenaan,” katanya kepada wartawan Malaysia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S.Saravanan berkata MoC yang diterajui kementeriannya adalah berhubung penghantaran pekerja mahir Malaysia dalam sektor-sektor tertentu untuk bekerja di Jepun.

Melalui MoC itu, katanya lebih 1,000 rakyat Malaysia berpeluang menimba pengalaman di Jepun dan sekiranya program itu berkesan, beliau akan berbincang dengan kerajaan Jepun untuk meningkatkan bilangan peserta Malaysia.

“Ia beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pengalaman dan kepakaran di Jepun untuk satu tempoh masa, di mana apabila mereka pulang kelak akan dapat menyumbang kepada industri yang berkaitan di Malaysia,” katanya. 

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerjasama melalui MoC itu antaranya adalah mengenai  pertukaran belia, pembangunan belia dan sukan.

Turut dibincangkan ialah untuk bekerjasama melatih sukarelawan bagi menghadapi bencana seperti banjir di Malaysia, dan juga kesukarelawan dalam penganjuran sukan antarabangsa memandangkan Jepun pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dalam keadaan mencabar.

Jepun adalah tuan rumah Sukan Olimpik 2020 namun tertangguh dan diadakan pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

Tokyo 2020 menjadi sejarah temasya Olimpik, apabila hampir semua acara berlangsung di gelanggang tanpa kehadiran penonton dan hanya membabitkan kehadiran atlet, pegawai pasukan dan wakil media. - BERNAMA
 

Advertisement