Anda di sini

Bekas penolong jurutera tidak mengaku terima rasuah RM1,600

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Miri, hari ini.
Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Miri, hari ini.

MIRI: Seorang bekas penolong jurutera di Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (SESCO) Miri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM1,600 pada tahun 2019 hingga 2020. 

Kambarie Sulong, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.
 
Mengikut pertuduhan pertama hingga 10, tertuduh ketika itu bertugas sebagai Penolong Jurutera di SESCO Miri didakwa memperoleh suapan membabitkan transaksi berjumlah di antara RM100 hingga RM300 daripada beberapa penerima ke akaun bank tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan antara 23 Mei 2019 hingga 27 Mei 2020.

Tertuduh yang berdepan 10 pertuduhan gagal melaporkan suapan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta yang sama. 

Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Steve membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan dan mengenakan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun depan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Khamsiah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Shikh  Rajjish Ahmad.

  • oleh
  • Advertisement