Anda di sini

Arthur sambut baik pengumuman PM mengenai Pas Lintas Batas

Advertisement
 Arthur (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian ahli PBPM Cawangan Nabawan selepas majlis perasmian mesyuarat agung persatuan itu.
ALBUM: Arthur (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian ahli PBPM Cawangan Nabawan selepas majlis perasmian mesyuarat agung persatuan itu.



NABAWAN: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai proses mendapatkan Pas Lintas Batas di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan Nabawan.


Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kemudahan itu sudah tentu memberi kelegaan kepada masyarakat setempat tanpa perlu ke Keningau kerana pas berkenaan boleh diperolehi di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan.


"Kelulusan ini akan memudahkan urusan penduduk di Daerah Kecil Pagalungan terutamanya dalam urusan imigresen dan pergerakan di antara negara jiran tanpa perlu pergi jauh ke Keningau.

 
"Kemudahan ini sudah tentu akan membuka lebih banyak peluang ekonomi setempat dan dapat meningkatkan lagi pembangunan di Parlimen Pensiangan, " katanya dalam satu sidang media sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Nabawan.


Mengenai majlis itu, Arthur memberitahu, pelbagai program telah dilaksanakan bagi menjaga bekas anggota Polis antaranya pengagihan bantuan makanan COVID-19 kepada ahli-ahli yang berdekatan serta bantuan kewangan kepada keluarga ahli yang telah meninggal dunia.


Mengulas lanjut, Arthur berkata, Persatuan Bekas Polis Malaysia memainkan peranan yang penting kerana melalui persatuan yang ditubuhkan, kebajikan bekas Polis dapat diperjuangkan disamping memberikan peranan kepada bekas Polis untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan juga negara.

 
Beliau turut menyeru agar peranan PBPM dapat diketengahkan sebagai perantara antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat dan menjadi jambatan penghubung antara polis dan komuniti setempat.

 
"Ilmu dan pengalaman seperti langkah-langkah pencegahan jenayah yang ada pada ahli-ahli PBPM sekiranya diterapkan di kampung-kampung dan taman perumahan pasti akan dapat membantu membentuk persekitaran kejiranan yang lebih selamat, ” katanya.


Pada majlis itu, Arthur telah menyumbangkan RM10,000 kepada PBPM Cawangan Nabawan sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas jasa dan bakti bekas Polis di daerah Nabawan.


Hadir sama, Pengerusi PBPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kasim Awang Gomok; Ketua Cawangan PBPM Nabawan, Anang Solongon serta wakil daripada IPD Keningau, ASP Chung Jiaw Joon. 
 

  • oleh
  • Advertisement