Anda di sini

Mara ke suku akhir Piala FA azimat KCFC berdepan Kelantan United

Advertisement
Pemain Kuching City giat menjalani latihan.
Pemain Kuching City giat menjalani latihan.

KUCHING: Ketiadaan beberapa pemain tonggak tidak merencatkan persiapan Kuching City FC (KCFC) menjelang pertembungan menentang Kelantan United FC dalam aksi Liga Premier di Stadium UiTM Shah Alam pada Jumaat.

Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan percaya pasukannya mampu melakar kejutan ke atas tuan rumah kerana sedang berada dalam momentum terbaik selepas kejayaan mara ke peringkat suku akhir Piala FA.

Akui ia perlawanan yang mencabar, Iswandi tetap melihat dari sudut positif akan peluang pasukannya untuk menang dalam usaha merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga.

“Memang perlawanan yang mencabar kerana kita akan turun tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan. 

“Tambahan lagi KCFC akan bertandang ke tempat lawan dan pastinya tuan rumah tidak akan memberi laluan mudah kepada kita.

“Namun saya percaya kejayaan kita mara ke saingan suku akhir Piala FA menjadi pembakar semangat pemain untuk meraih keputusan positif pada perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Iswandi lagi, jurulatih Irfan Bakti sudah pasti telah mencongak percaturan terbaik untuk berdepan Kelantan United yang semestinya juga tidak mahu keciciran mata.

Jelasnya, KCFC masih memiliki senjata rahsia untuk membedil kubu Kelantan United sekaligus mencuri tiga mata dari perlawanan tersebut.

KCFC sedang berada di tangga keempat liga dengan 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Manakala Kelantan United menghuni tangga ketiga dengan 13 mata dari tujuh perlawanan.

Advertisement