Anda di sini

Guru KAFA terima Anugerah Mutiara Al-Quran

Advertisement
 Juliah (empat kiri) menyampaikan Anugerah Mutiara Al-Quran kepada Siti Hatijah (tengah). Turut kelihatan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (empat kanan).
ANUGERAH: Juliah (empat kiri) menyampaikan Anugerah Mutiara Al-Quran kepada Siti Hatijah (tengah). Turut kelihatan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (empat kanan).

TAWAU: Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Kampung Melati Burut di sini Siti Hatijah Marsuki menerima Anugerah Mutiara Al-Quran pada majlis Program Bicara Bonda sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (MUTIARA GRS-BN) Datin Seri Panglima Juliah Salag menyampaikan anugerah itu kepada Siti Hatijah selepas merasmikan program berkenaan.

Siti Hatijah, 50, anak sulung daripada enam beradik dari Kampung Merotai Kecil dekat sini pernah mewakili negeri Sabah sebanyak 11 kali sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Terdahulu, Juliah merakamkan tahniah kepada penerima Anugerah Mutiara Al-Quran dan berharap akan terus memberikan sumbangan dalam bidang keilmuan dan al-Quran di negeri ini. 

“Saya berharap Program Bicara Bonda ini dapat menjadi wadah untuk menyemarakkan budaya keilmuan dan meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti penghayatan nilai Islam sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

“Semoga semua ilmu yang kita peroleh sepanjang Program Bicara Bonda ini boleh dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berpeluang menyertai majlis ini," katanya.

Beliau turut berharap majlis seumpama itu dapat menjadi landasan untuk mengeratkan nilai ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya, dua nilai berkenaan menjadi asas terpenting perpaduan dan kekuatan ummah seperti mana yang diajarkan oleh kitab suci al-Quran.

Program berkenaan adalah edisi kedua yang dianjurkan oleh MUTIARA GRS-BN dengan kerjasama Pejabat Menteri Tugas-tugas Khas, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan beberapa agensi yang lain. 
 

  • oleh
  • Advertisement