Anda di sini

Warga emas dipenjara, disebat akibat sentuh kemaluan kanak-kanak berusia 4 tahun

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual iaitu menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada 2020.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad dalam keputusannya mendapati pembelaan tertuduh yang kini berusia 65 tahun itu hanya penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun berkuat kuasa hari ini dan dikenakan satu sebatan, selari dengan Seksyen 25 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," ujar Dayang.

Tertuduh didapati bersalah melakukan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Tertuduh didapati bersalah melakukan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Ujar Dayang lagi, dengan mengambil kira tertuduh kini berusia 65 tahun dan mempunyai masalah kesihatan, hukuman dan sebatan tersebut adalah mencukupi dan tertuduh berkemungkinan besar tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada hari kejadian, dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 10 Ogos 2020, di sebuah kedai runcit di sebuah kampung di Padawan di sini, sekitar jam 6 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa pergi ke kedai runcit tersebut bersama neneknya pada hari kejadian.

Nenek mangsa menunggu di luar kedai, manakala mangsa masuk ke dalam untuk membeli makanan ringan.

Ketika itu, tiada orang lain di kedai itu selain mangsa, penjaga kedai (tertuduh) dan nenek mangsa.  

Selesai membayar dan menerima baki wang, tertuduh menjilat tangannya dan memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa serta menekan kemaluan mangsa.

Difahamkan, mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya dan susulan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 17 Ogos 2020.

Mangsa juga dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan obstetrik dan pakar ginekologi, namun mangsa dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh menerusi peguamnya Roland Thomas merayu agar tidak dikenakan hukuman berat susulan tertuduh mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti darah tinggi, kolesterol, pleural tuberculosis dan hyperglycaemia.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali bagaimanapun menggesa mahkamah untuk mengambil kira perbezaan umur mangsa dan tertuduh, selain menegaskan bahawa kes seksual fizikal sebegini kerap dilaporkan oleh media.

Selain itu, tertuduh juga katanya, sudah cukup matang dan seharusnya mempunyai kecerdasan mencukupi untuk membezakan perkara yang betul atau salah.

Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh sementara membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

  • oleh
  • Advertisement