Anda di sini

Lelaki didenda akibat tumbuk cermin hadapan kereta wanita

Advertisement
 

KUCHING: Gara-gara melakukan khianat dengan menumbuk cermin hadapan kereta seorang wanita sehingga retak, seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sapiee Seram, 56, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh berasal dari Kampung Jaie Simunjan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia 46 tahun, sehingga mangsa mengalami kerugian lebih kurang berjumlah RM300.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya pada 7 Mei lalu, sekitar jam 5 petang di Jalan Utama Kampung Tupong di sini.

Berdasarkan keterangan kes, berlaku kemalangan jalan raya antara mangsa serta tertuduh pada hari kejadian dan mangsa dilaporkan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) tertuduh dari arah belakang. 
                    
Keadaan ini menyebabkan tertuduh keluar dari keretanya dan pergi ke arah mangsa sambil berkata ‘kenak cuai’.
 
Tertuduh seterusnya bertindak menumbuk cermin hadapan kereta kompak mangsa sehingga ia retak sebelum beredar dari tempat kejadian. 

Laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 9 Mei lalu. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement