Anda di sini

Pelajar bumiputera perlu kuasai pelbagai bahasa

Advertisement
 Jahid (berdiri) merakamkan gambar kenangan bersama beberapa peserta kursus berkenaan.
KENANGAN: Jahid (berdiri) merakamkan gambar kenangan bersama beberapa peserta kursus berkenaan.


TAMPARULI: Penguasaan baik dalam pelbagai bahasa berupaya meningkatkan kebolehpasaran seseorang sekali gus membuka peluang kerjaya di dalam atau luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, dalam mendepani era globalisasi, kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan bagi meningkatkan daya saing sehingga ke peringkat global.

"Sering kali menjadi halangan kepada pelajar bumiputera di pusat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti, hanya kerana masalah penguasaan bahasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program English For Employability Level 1 Tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI), di Dewan Muhibbah Kampung Kosusu Kionsom, semalam.

Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Jilias Lintar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kosusu Kionsom, Jamuni Mandakal, Pengerusi JPKK Kampung Topokon, Mary Martin, Ketua Kampung Kosusu Kionsom, Sopioh Ombon, dan tenaga pengajar, Evhytra Jilias.

Katanya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah penting serta sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan di Malaysia.

"Kursus seumpama ini pastinya akan memberi keyakinan kepada para peserta untuk berurusan, apatah lagi jika berpeluang bekerja atau melanjutkan pelajaran ke luar negara kelak," katanya.

"Tahniah kepada semua peserta kerana telah sanggup berkorban masa selama empat jam sehari, semata-mata untuk mendalami ilmu bahasa Inggeris dan memberi sambutan yang sangat memberangsangkan," katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua remaja belia yang hadir agar menggunakan segala ilmu yang diperolehi mereka sebaik mungkin.
 
Seramai 25 peserta telah menamatkan kursus itu yang merangkumi sebanyak 25 sesi pembelajaran, di bawah kelolaan Pusat e-Desa Topokon.
 

  • oleh
  • Advertisement