Anda di sini

21 Jun sebutan lanjut kes bunuh Eric

Advertisement
Kedua-dua tertuduh semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.
Kedua-dua tertuduh semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula kes bunuh membabitkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang pada Mac lalu.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Dora Undau setelah membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, yang mewakili Timbalan Pendakwa Tan Chuan Yi. 

Ia susulan laporan DNA dan laporan forensik belum tersedia. 

Sementara menunggu tarikh tersebut, kedua-dua tertuduh, Wendy Chai Xue Zhen, 36, dan Ling Kok Liang, 51, diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo.

Terdahulu pada 31 Mac, kedua-dua tertuduh iaitu pengasuh Eric dan suaminya didakwa di hadapan Majistret Zaiton Anuar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan kekasih tersebut. 

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Eric.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka secara bersama antara 4 Mac lalu sekitar jam 5 petang dan 7 Mac lalu, sekitar jam 9.15 pagi di sebuah rumah di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa.

Dalam pada itu, Eric sebelum ini dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu semasa dijaga oleh pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa.

Operasi pencarian Eric di sekitar perairan sungai Muara Tebas di sini sejak 13 Mac lalu dihentikan pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.

Sementara itu menurut laporan terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media memberitahu kedua-dua tertuduh juga memilki lima waran tangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang daripada suspek juga dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement