Anda di sini

Aidilfitri platform kukuh perpaduan selari konsep 'Keluarga Malaysia': Bung

Advertisement
 Bung (tiga kiri) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau.
ALBUM: Bung (tiga kiri) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau.



KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia khususnya di Sabah diseru memanfaatkan peluang sempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri untuk  memupuk nilai kasih sayang dan perpaduan di antara satu sama lain selaras dengan konsep 'Keluarga Malaysia'.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, rakyat di negara ini khususnya di Sabah perlu bersama-sama bersatu untuk membangunkan negeri bagi mencapai gagasan Sabah Maju Jaya (SMJ).


"Sambutan Aidilfitri bukan sahaja perayaan agama khususnya bagi masyarakat Islam tetapi juga kesempatan bagi semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini untuk meraikan bersama, " katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat sini kelmarin.


Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya sambutan Aidilfitri tahun ini menampakkan keceriaan setelah dua tahun masyarakat di negara ini tidak dapat meraikan dalam suasana yang lebih meriah ekoran penularan pandemik COVID-19.


"Alhamdulillah tahun ini apabila negara beralih ke fasa endemik, selain penurunan kes-kes COVID-19, kita ada kelonggaran sedikit untuk mengadakan majlis rumah terbuka dengan pematuhan SOP yang ditetapkan dan ini memberikan ruang kita berkumpul beramah mesra dan mengeratkan hubungan silaturahim walaupun diadakan dalam skala kecil," katanya.

 Bung (dua kiri) bersama Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik (berdiri kanan) kelihatan tersenyum semasa mengabdikan gambar kenangan semasa majlis rumah terbuka Bung.
ERAT HUBUNGAN: Bung (dua kiri) bersama Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik (berdiri kanan) kelihatan tersenyum semasa mengabdikan gambar kenangan semasa majlis rumah terbuka Bung.


Sambil berharap kes-kes penularan COVID-19 akan terus berkurangan, Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap keadaan akan terus pulih bagi membolehkan kerajaan negeri memberikan fokus sepenuhnya bagi membangunkan negeri ini.


"Dalam masa dua tahun kita memberikan tumpuan untuk menjaga kebajikan rakyat yang terjejas kesihatan dan ekonomi mereka ekoran penularan pandemik COVID-19, justeru dengan penurunan kes-kes harian COVID-19 kerajaan dapat menumpukan terhadap pelbagai program untuk dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat, " katanya.


Terdahulu Bung turut menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan negeri yang diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Sabah (SICC) yang dihadiri Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Dr Juhar Mahiruddin, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr. Norlidah R.M. Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta ahli jemaah kabinet negeri Sabah.

 

  • oleh
  • Advertisement