Anda di sini

Sabah negeri pilihan pelabur China

Advertisement
 Foo (lima kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Liang Caide ketika di majlis perpisahan berkenaan.
TERIMA KASIH: Foo (lima kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Liang Caide ketika di majlis perpisahan berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah merupakan sebuah negeri menjadi pilihan kepada pelabur China untuk mencari peluang melabur dalam pelbagai bidang.

Presiden Persatuan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Prof. Foo Ngee Kee berkata, ketika mengadakan pertemuan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Mantan Konsul General Republik China di Kota Kinabalu Liang Caide baru-baru ini, pelbagai pandangan positif telah dikongsikan.

"Ketika ditanya mengenai pandangan beliau mengenai Sabah, Liang memuji negeri ini yang sememangnya berada dalam lokasi sangat strategik.

"Sabah sangat penting kerana berada dekat dengan China serta laluan maritim sejak dahulu sehingga kini. Negeri ini juga katanya sangat kaya dengan sumber mineral seperti minyak dan gas, kelapa sawit, makanan laut serta hutan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ramai dalam kalangan rakyat Sabah juga fasih berbahasa mandarin yang memudahkan lagi komunikasi diantara pelabur China yang mahu datang ke negeri ini.

Katanya, sepanjang tempoh beliau (Liang Caide) bertugas di Sabah, masyarakatnya sangat mesra walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya yang berbeza.

"Beliau menjelaskan Sabah dan China akan sentiasa mengekalkan hubungan baik ini dan para pelancong serta pelabur yang datang ke Sabah juga menzahirkan padangan yang sama mengenai negeri ini.

"Selain itu katanya, Sabah juga merupakan satu destinasi pelancongan yang sangat menarik dengan menawarkan pelbagai keindahan dari segi pulau, pantai, gunung dan sebagainya. 

"Selain itu, sebelum tularnya pandemik COVID-19 ke Sabah, terdapat sekurang-kurangnya 124 penerbangan setiap minggu dari seluruh pelusuk China ke Kota Kinabalu," katanya.

Foo dalam pada itu turut mencadangkan kepada Liang bahawa Kota Kinabalu boleh menjadi pintu utama pengunjung untuk masuk dan keluar dari Nusantara Kalimantan.

Katanya, tidak kira tujuan mereka datang untuk perniagaan, melancong atau peribadi. Pengunjung antarabangsa boleh singgah di sini untuk menikmati makanan laut serta keindahan yang ditawarkan negeri ini.

Foo dan Liang turut berpendapat bahawa pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara Kalimantan akan memberikan potensi besar kepada Sabah khususnya dari segi pelaburan dan perdagangan. Sabah perlu aktif untuk menerokai peluang itu.

Liang menjelaskan Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac lalu untuk negara ini akan mengembangkan lagi hubungan dagangan diantara Malaysia dengan China, sekali gus memberikan akses mudah kepada Sabah bagi menerokai pasaran negara tembok besar itu.

Katanya, Sabah perlu merebut peluang berkenaan khususnya aktiviti eksport barangan ke China seperti produk pertanian.

"Tidak dinafikan Sabah akan menerima lebih banyak pelaburan dan perdagangan dari China pada masa hadapan.

"PKS Sabah juga perlu aktif menyertai acara seperti pameran perdagangan yang diadakan di China pada masa hadapan," katanya.

Foo dalam pada itu berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan jemputan itu di masa hadapan menerusi pejabat konsul China di sini.
 

  • oleh
  • Advertisement