Anda di sini

Ambil dadah berulang kali, lelaki dipenjara lima tahun

Advertisement
Tertuduh (kanan) mengaku bersalah mengambil dadah berulang kali.
Tertuduh (kanan) mengaku bersalah mengambil dadah berulang kali.

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas kesalahan menggunakan dadah buat kali ketiga.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Shukri Johan, 27, selepas dia mengaku salah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan tidak lebih daripada tiga sebat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini memiliki dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 masing-masing pada tahun 2020, sekali lagi didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 2.05 pagi pada 30 November 2021. 

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh hanya memberikan rayuan ringkas dengan memohon diberikan hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff bagaimanapun memohon tertuduh dijatuhi hukuman berat dengan megambil kira kekerapan kes, kepentingan awam dan berat kesalahan yang dilakukan.

Dalam pada itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 26 Ogos 2020, sekitar jam 3.30 petang juga di pejabat BSJND IPD Padawan.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa 18 April 2022, selain memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun. 

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama atas kesalahan memiliki 6.5 gram Methamphetamine pada 13 April lalu di sebuah kafe di Kota Sentosa di sini, kira-kira jam 11 pagi. 

Majistret Zubaidah Sharkawi bagaimanapun menetapkan kes disebut semula pada 14 Jun memandangkan laporan kimia belum tersedia.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes di Mahkamah Majistret dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement