Anda di sini

Dua nelayan jatuh laut, seorang temukan lemas

Advertisement
 Zon Maritim Lahad Datu menjalankan SAR mencari seorang lagi mangsa yang hilang.
SAR: Zon Maritim Lahad Datu menjalankan SAR mencari seorang lagi mangsa yang hilang.

LAHAD DATU: Seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Makuou, di sini, Khamis lalu ditemukan lemas.

Mangsa berumur 27 tahun itu ditemukan terapung kira-kira 100 meter dari Pantai Mukuou oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 11 pagi, semalam.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis dan dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata seorang lagi mangsa berumur 43 tahun masih hilang.

Katanya, Maritim Lahad Datu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9 malam selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Operasi Carilamat mangsa yang masih hilang diteruskan dengan bantuan aset daripada agensi sahabat yang lain.

“Kawasan pencarian mangsa terbahagi kepada empat sektor dengan keluasan enam batu nautika dari lokasi bot terbalik,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar memukat menggunakan bot gentian kaca tanpa enjin dan nombor pendaftaran.

Bot mangsa dilaporkan terbalik akibat dipukul ombak yang menyebabkan mangsa jatuh laut dan dihanyutkan oleh arus deras.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mohon orang ramai untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu ditalian 089-885727 atau MERS 999.

  • oleh
  • Advertisement