Anda di sini

Mekanik ceroboh ladang didenda RM2,000

Advertisement

MIRI: Padah melakukan pencerobohan jenayah ke kawasan sebuah ladang, seorang mekanik didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah Mengin Sigan, 47, dari Taman Permai, Bandar Baru Permyjaya di sini, mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan menceroboh masuk ke kawasan sebuah ladang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam, 7 April lalu di Ladang Woodman Alan Estate di sini.

Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan tertuduh telah masuk ke kawasan ladang itu bertujuan hendak pergi ke rumah panjang Asam Paya untuk berjumpa kawannya.

Semasa berada di laluan masuk ke rumah pekerja, tertuduh telah ditahan oleh pekerja ladang kerana berkelakuan mencurigakan, selain bukan pekerja ladang berkenaan.

Tertuduh kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement