Anda di sini

Filipina: Angka korban akibat ribut tropika Megi meningkat 56

Advertisement

MANILA: Angka korban akibat ribut tropika Megi yang melanda Filipina sejak Ahad meningkat kepada 56 termasuk 47 mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.

Datuk Bandar Baybay City, Jose Carlos Cari berkata pasukan penyelamat setakat ini telah menemukan 47 mayat di 10 perkampungan di wilayah Leyte. 

"Sebahagian mangsa telah ditemukan, dan sebahagian lagi dihanyutkan ke pinggir pantai," katanya.

Beliau berkata kebanyakan kampung yang terjejas terletak berhampiran kawasan sawah padi dan limpahan air sungai turut membanjiri beberapa perkampungan.

"Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini. Kami menggunakan dron di kawasan terjejas bagi mengesan mangsa yang terselamat," katanya. 

Anggota keselamatan memindahkan penduduk dari rumah mereka yang dinaiki air di bandar Panitan, wilayah Capiz akibat hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Megi.-- AFP

Anggota keselamatan memindahkan penduduk dari rumah mereka yang dinaiki air di bandar Panitan, wilayah Capiz akibat hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Megi.-- Gambar AFP

Sementara itu, Majlis Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan lapan lagi kematian akibat ribut, 193 cedera manakala 28 masih hilang.

Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, walaupun Megi semakin melemah, hujan lebat masih berterusan di beberapa kawasan.

Megi, ribut tropika pertama yang membadai Filipina tahun ini.

Filipina dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut saban tahun kerana kedudukannya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, menjadikannya antara negara paling kerap ditimpa bencana alam. -- BERNAMA

Advertisement