Anda di sini

Empat dipenjara akibat menyeludup 17 orang migran

Advertisement

KUCHING: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, manakala dua lagi dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup 17 migran warga Indonesia awal tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai memerintahkan hukuman penjara bagi kesemua tertuduh iaitu Mohd Hadi Abdul Karim Boon, 30, Robert Erni, 27, Joshua Sidi, 27 dan Fery Alam, 31, untuk dikuatkuasakan dari tarikh mereka ditangkap pada 11 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11 Januari lalu, sekitar jam 1 pagi di sebuah hotel yang terletak di Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Hadi, Robert Erni, Joshua dan Fery keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Kuching hari ini selepas dijatuhkan hukuman.
Mohd Hadi, Robert Erni, Joshua dan Fery keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Kuching hari ini selepas dijatuhkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak melakukan serbuan ke atas hotel tersebut dan mendapati Mohd Hadi, Robert dan Joshua berada di luar hotel berkenaan pada hari kejadian, manakala Fery dilaporkan berada di dalam sebuah bilik di hotel tersebut.

Semasa tangkapan, kesemua migran didapati berada di hotel transit sebelum menuju ke destinasi masing-masing iaitu Sibu dan Bintulu.

Hasil siasatan mendapati kesemua migran memasuki Malaysia untuk bekerja dan diuruskan oleh ejen berbeza serta dibimbing oleh individu yang tidak dikenali.

Kesemua migran juga diarahkan untuk menunggu tiga kenderaan berbeza yang akan mengambil mereka setibanya mereka di sempadan Malaysia-Indonesia, sebelum dibawa ke hotel berkenaan.

Selain itu, fakta kes menjelaskan Fery berurusan dengan Mohd Hadi, Robert dan Joshua dalam menguruskan kemasukan semua migran ke Malaysia.

Fery juga merupakan individu yang bertanggungjawab mengambil dan membawa sembilan migran dari Indonesia.

Migran itu kemudiannya dibawa oleh Mohd Hadi, Robert dan Joshua ke hotel berkenaan sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.

Sementara itu, lapan migran lain memasuki Sarawak menerusi jalan tikus menerusi ejen masing-masing dan kemudiannya dibawa masuk oleh Mohd Hadi, Robert dan Joshua.

Lapan migran berkenaan dihantar ke hotel terbabit sementara menunggu migran lain sebelum kesemuanya dihantar ke destinasi masing-masing.

Berdasarkan semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga, tiada rekod kemasukan ke Malaysia bagi lapan daripada migran tersebut, manakala selebihnya didapati tinggal lebih masa di Malaysia selepas tamat tempoh pas mereka.

Dalam pada itu, mahkamah berpendapat bahawa Robert dan Joshua memainkan peranan yang kurang serius berbanding Mohd Hadi dan Fery dalam melakukan kesalahan itu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan Mohd Hadi dan Fery dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, manakala Robert dan Joshua dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi.

Advertisement