Anda di sini

Lelaki lepas dan bebas pertuduhan ambil dadah berulang kali

Advertisement
Fung (kiri) menjelaskan kepada tertuduh (kanan) mengenai kes tersebut selesai prosiding hari ini.
Fung (kiri) menjelaskan kepada tertuduh (kanan) mengenai kes tersebut selesai prosiding hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengambil dadah berulang kali.

Hakim Maris Agan menetapkan demikian terhadap tertuduh, Pang Choo Ngee, 47, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan beliau mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya pada 16 Ogos 2019, sekitar jam 6.40 petang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh disebat dengan tidak lebih daripada tiga sebatan.

Tertuduh juga dilaporkan mempunyai dua rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, masing-masing pada 2013 dan 2015.

Tertuduh diwakili peguam Fung Lee Fook manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie. 

Dalam pada itu difahamkan, peguam Fung semasa penghujahannya terdahulu memaklumkan mahkamah bahawa prosedur pengambilan sampel air kencing daripada tertuduh dalam kes ini adalah salah serta sampel yang dikumpul adalah tidak bersih dan identitinya diragui.

Pihak pembelaan juga berhujah yang botol air kencing tertuduh telah tercemar kerana ia tidak bertutup dan tidak dilabel. 

Kira-kira enam saksi dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes yang dibicarakan sejak November 2020 itu. 

Advertisement