Anda di sini

Curi wang tunai RM12,000 daripada warga emas, pemuda dipenjara enam bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencuri wang tunai RM12,000 daripada seorang lelaki warga emas pada September tahun lalu.

Tertuduh, Nur Muhamaad Zaitul Ikhmal Reki, 25, dari RPR Bandar Baharu Semariang di sini mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang tunai RM12,000 milik seorang lelaki berusia 61 tahun dalam satu kejadian pada 24 September 2021, sekitar jam 3 pagi di sebuah kedai runcit di MJC Batu Kawa, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa (pengadu) meletakkan beg sandang miliknya yang mengandungi wang tunai RM12,000 serta beberapa dokumen peribadi di atas sebuah kerusi dalam kedai runcit tersebut sebelum keluar untuk pergi ke tandas pada hari kejadian.

Beg sandang tersebut seterusnya diambil oleh lelaki yang tidak dikenali dan pengadu juga sempat melihat lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta kompak. 

Laporan polis dibuat dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 4 April lalu.

Difahamkan, wang tunai tersebut merupakan wang pencen yang baharu dikeluarkan untuk kegunaan bagi menyambung pelajaran anak perempuan pengadu di universiti. 

Dalam pada itu, Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh yang tidak diwakili peguam itu untuk dikuatkuasakan mulai semalam.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Advertisement