Anda di sini

Pengeluaran dokumen kepada individu 21 tahun ke bawah tanpa kewarganegaraan langkah bijak 

Advertisement
SANGI
SANGI

KUCHING: Pengeluaran dokumen sementara kepada individu 21 tahun ke bawah tanpa status kewarganegaraan langkah bijak Kerajaan Sarawak bagi membolehkan mereka yang layak mendapat akses kepada pendidikan dan kesihatan.  

Menyambut baik langkah ini, Tuai Rumah Sangi Abu berkata pengeluaran dokumen sementara bagi individu tanpa status kewarganegaraan penting bagi menangani isu tanpa status kewarganegaraan. 

“Langkah ini sudah pasti memberi kelegaan kepada rakyat terutama mereka yang tiada status kewarganegaraan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses pendidikan dan kesihatan. 

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan isu pendidikan dan kesihatan terutama kanak-kanak tanpa status kewarganegaraan. 

“Kita juga berharap tiada lagi rakyat kita terutama kanak-kanak yang ketinggalan daripada mendapat akses pendidikan dan kemudahan kesihatan di tanah kelahiran mereka sendiri,” katanya.

MABONG
MABONG

Sementara itu, Mabong Unggang berkata langkah yang diambil Kerajaan Sarawak ini pastinya memberi kelegaan kepada rakyat negeri ini terutama mereka yang tiada status kewarganegaraan. 

Pengeluaran dokumen sementara ini katanya, akan membolehkan mereka mendapat akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sewajarnya seperti yang dinikmati rakyat lain. 

“Pengeluaran dokumen sementara ini juga dapat membantu pihak berwajib menjejaki atau mengetahui individu yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri rasmi . 

“Ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan pendokumentasian bagi proses permohonan pengeluaran kad pengenalan diri mahupun sijil lahir yang sah,” katanya yang juga Ketua Akademi Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA).

Pengeluaran dokumen sementara ini bagaimanapun menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah bukan jaminan atau janji mereka akan dapat status kerakyatan Malaysia. 

Ini kerana katanya, pengeluaran dokumen sementara ini hanya bertujuan memudahkan atau membantu individu berkenaan dalam memohon akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan di negeri ini. 

Advertisement