Anda di sini

Warga pendidik bersemangat mula tugas secara bersemuka

Advertisement
 Guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah.
BERSEMANGAT: Guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah.

KOTA MARUDU: Program Amalan Guru Penyayang murid Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu disambut dengan penuh perasaan kasih serta kemesraan.

Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling diadakan sempena hari pertama persekolahan secara bersemuka bagi sesi 2022/2023 sekolah berkenaan.

Acara yang diketuai Pengetuanya Hajah Rosmih NC Jamari @ Jamal bersama dengan barisan Penolong-penolong Kanan dan Ketua-ketua bidang menjelaskan majlis berkenaan adalah selaras dengan pengisian Program Amalan 'Guru Penyayang'.

Ia merupakan salah satu kempen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang perlu dilaksanakan dalam sekolah agar guru mengamalkan dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.

Penyayang membawa maksud perbuatan atau perlakuan menyayangi, mengasihi dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain.

Ini bermakna guru penyayang adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, perihatin dan sabar. 

Penerapan nilai-nilai positif seperti L (Loving), U (Understanding), C (Caring) dalam kalangan guru-guru terhadap murid-murid sekolah perlu diamalkan supaya murid-murid rasa diri mereka dihargai serta disayangi oleh Warga Sekolah dan masyarakat.

 Guru-guru SMK Kota Marudu merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Guru-guru SMK Kota Marudu merakamkan gambar kenangan.

Guru penyayang menjiwai bahawa murid mereka merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan disayangi setiap masa.

Malahan amalan penyayang juga merupakan sifat profesional guru dalam hubunganya dengan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat.

Aktiviti yang bermula seawal jam 6 pagi itu menyaksikan semua guru berpakaian seragam dan berada di pintu pagar utama bagi mengalu-alukan kehadiran murid.

Situasi ini menggambarkan betapa bersemangatnya warga pendidik memulakan tugas masing-masing secara bersemuka bersama murid-murid kesayangan mereka setelah sekian lama dibelenggu pandemik COVID-19. 
 

  • oleh
  • Advertisement