Anda di sini

Dadah: Suri rumah didenda RM3,600, tiga bulan penjara 

Advertisement
 

MIRI: Padah memiliki dadah berbahaya, seorang suri rumah didenda RM3,600 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.  
    
Caroline Molly David, 36, dari Green Ville, Desa Senadin di sini didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama. 
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100, 000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. 
    
Menurut keterangan kes, tertuduh bukan sebagai seorang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis ketamine seberat 0.54 gram (berat bersih). 
    
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 3.30 petang, pada 2 Disember 2021 di hadapan kaunter sebuah premis di Jalan Pujut di sini. 
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Tambahan beliau berkahwin dan perlu menjaga seorang kakak Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kedua ibu bapanya.
    
Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement