Anda di sini

Kisah Si Penghisap Darah yang Kemabukan Rasa

Advertisement
 

Oleh Abang Median Abang Said

CERITA ini tentang si penghisap darah tetapi kau boleh membayangkan mengikut imaginasimu sendiri. Mungkin ada yang akan membayangkan tentang zombie kerana pengaruh daripada drama dan filem Korea yang berlambak dalam siaran berbayar sama ada melalui televisyen atau Internet – zombie dengan mulut ternganga, muka yang terherot mengheret perlahan kakinya yang ingin menghisap darah dan mengunyah otak mangsa. Pasti ada yang berasa takut dan terkejut dengan efek bunyi yang akan melonjakkan lagi daya imaginasi hingga mendatangkan kesan saspens. 
    Kau boleh juga membayangkan tentang kisah Dracula dan Vampire yang terlalu hauskan darah hingga menghisap darah sesiapa sahaja, termasuk orang yang disayangi. Begitulah kejamnya kehidupan tatkala terpaksa merompak kebahagiaan daripada orang tersayang. Bayangkan dirimu berada dalam rumah agam lama yang tidak berpenghuni. Hal ini hanyalah tentang bagaimana cara kita menata fikiran. Tentu kau tidak tahu bahawa cerita Dracula ini dibuat berdasarkan penampilan teater karya Hamilton Deane dan John L. Balderston serta novel berjudul serupa karya Bram Stoker. Filem ini menjadikan kalimat “I am Dracula” sesuatu yang ikonik dan popular hingga ke saat ini. Pastinya kalimat ini telah diubah suai mengikut situasi pada masa sekarang menjadi “I am __________”. Tempat kosong itu boleh diisi dengan apa-apa perkataan namun akan tetap menggambarkan perilaku yang sama tentang individu si penghisap darah yang semakin banyak dalam dunia realiti kini. Tiada bezanya mereka dengan drakula yang juga mengenakan baju kot atau blazer dengan tali leher atau bow tie. Semua itu hanya untuk mengaburi suasana dan kemabukan rasa akibat ketagihan darah. 
    Mungkin ramai juga yang akan mengimbau kembali kisah klasik tentang Raja Bersiong yang ketagihan darah setelah tidak sengaja termakan darah tukang masak yang terhiris jari tangan sendiri. Tidak ada silapnya daripada imaginasi tersebut. Memang ada persamaan yang tidak disengajakan. Ini bukannya plagiarisme kerana peniruan sikap itu sudah menjadi tabiat rutin yang biasa. Bukankah kisah yang berlaku itu ialah kisah yang berulang disebabkan pemikiran dan sikap masyarakat Melayu yang tidak pernah berubah? Kesilapan yang tertulis dalam sejarah akan berulang – dikesali hanya seketika dan dilakukan semula – lagi dan lagi. Aku juga tidak menyalah kalian jikalau membayangkan gigi si penghisap darah itu seperti keris Taming Sari yang mabukkan darah sewaktu Jebat mengamuk atas kematian Tuah. Itu bukan kesalahan keris tetapi kepada si pelaku yang menggenggam dan memanipulasi keris tersebut. Masih adakah ketuanan bangsa pada senjata itu?
    Setiap tukang cerita pasti ingin memukau pembaca atau pendengar dengan ayat pertama yang disusun. Begitu juga dengan aku yang sengaja mengaitkan cerita ini dengan kisah Zombie, Dracula dan Vampire kerana watak utama dalam cerita ini memang merupakan hantu yang ada persamaan lantas menghancurkan sistem nilai dan kehidupan termasuk kebahagiaan yang ingin dikecapi. Hantu dalam dunia realiti itu memang ada. 
    Lelaki itu merupakan seorang pengarah dalam syarikat konglomerat yang terlibat dalam industri pelbagai yang bukan hanya memiliki puluhan syarikat kecil malah turut membentuk keseluruhan buruh dan rantaian bekalan untuk produk yang dihasilkan. Lelaki itu, selanjutnya kusebut sahaja Mendeliar – bukan nama sebenar dan tidak mempunyai kaitan dengan kisah sejarah tentang Raja Mendeliar – termasuk aspek kekayaan dan pelaburan sahamnya di luar negara. Sekali lagi, anggap sahaja itu kebetulan jikalau ada persamaan. 
    Aku mahu mundur ke dua tahun sebelum tabiat Mendeliar menjadi satu bentuk kemahuan yang tidak terkawal. Ketika dia melawat makmal R&D (Research and Development) di salah sebuah cawangan syarikatnya, seorang pekerjanya mengalami luka di tangan akibat kemalangan sewaktu memberi penerangan tentang eksperimen dan operasi makmal barangan yang dihasilkan. Mendeliar yang agak panik telah memegang tangan pekerjanya itu sehingga sisa darah turut terkena tangannya. Tanpa sengaja, dia telah menghisap jarinya yang ada kesan darah itu. Mendeliar berasa khayal dengan mata terpejam – mengambang keasyikan di langit jiwa. Rasa nikmat dan kepuasan tidak sama seperti mencicip makanan biasa. Dari sanalah bermulanya ketagihan Mendeliar pada darah pekerjanya. 
    Sewaktu muda, Mendeliar mengalami hemofobia – perasaan takut melihat darah hingga pandangan berpinar-pinar dan berpendar. Namun mengikut unjuran sebuah buku, Mendeliar mengunci diri di dalam bilik, memejamkan mata dan membayangkan sesuatu yang indah daripada darah, “Ketakutan pada sesuatu boleh diatasi dengan akrab dengan benda tersebut,” ditulis dalam buku itu. Maknanya, fobia pada darah perlu diselesaikan dengan selalu melihat darah. Dia percaya dengan pernyataan tersebut. 
    Mendeliar juga terbaca tentang kisah petani di Puerto Rico pada tahun 1995 yang menerima serangan misteri hingga kambing ternakan mereka di Canovanas mati – darah kambing itu dihisap sehingga kering. Pada tahun yang sama juga sejenis makhluk misteri yang dikenali sebagai Chupacabra dilihat tiba-tiba muncul dari angkasa lalu hinggap di atas pokok sebelum makhluk misteri itu menyerang dan membunuh berpuluh-puluh haiwan ternakan penduduk. Makhluk misteri itu dikatakan berwarna kelabu setinggi antara semeter sehingga dua meter, berbulu menyerupai monyet tetapi tidak berekor, memiliki sepasang mata merah, lidah terjelir seperti ular, bertaring dan di belakangnya seolah-olah memiliki sepasang sayap seperti kelawar. Anehnya makhluk misteri itu mampu melompat seperti kanggaru dan boleh memecah masuk ke dalam rumah penduduk melalui tingkap dan kemudiannya menghilangkan diri. Makhluk aneh tersebut meninggalkan cecair berlendir yang melekit pada tingkap dan lantai. Di Malaysia, situasi yang sama boleh disamakan dengan perbuatan Orang Minyak dan Toyol biarpun mempunyai matlamat yang tidak sama. 
    Mendeliar tidak mahu membayangkan adegan-adegan segelap itu; dia hanya melihat dirinya menghisap darah pekerjanya tanpa mendatangkan sebarang kematian. Sewaktu menulis cerita ini, aku masih tidak dapat merungkaikan cara Mendeliar menghisap darah pekerjanya. Penyiasatanku menemui jalan buntu dan keliru. Apa yang pasti, para pekerjanya menjadi lemah tidak bermaya hingga produktiviti syarikatnya menurun. Prestasi kerja dan keluk keuntungan syarikat merudum. Pelabur-pelabur asing mengambil langkah berjaga-jaga sama ada menarik pelaburan dan permodalan dalam skala yang besar. Banyak syarikat lain yang mempunyai potensi yang lebih menyerlah lebih-lebih lagi dengan kadar upah tenaga buruh yang rendah. Ketidakpuasan rasa dan penentangan daripada para pekerja biarpun tidak secara terang-terangan, tetap telah menjejaskan nama baik syarikat. 
    Para pengamal media sudah dapat menghidu tentang perkara tersebut tetapi tetap tidak berani mendedahkan kebenaran. 
    “Kau mahu menjadi seperti pekerja mereka? Dia mirip para diktator pada zaman silam. Ada juga yang menggelarnya sebagai Chupacabra. Kau berani?”
    Semua wartawan menggeleng dan mengambil jalan selamat. Berita tentang Mendeliar disenyapkan begitu sahaja. 
    Ramai juga netizen yang menggunakan akaun palsu untuk menyerang peribadi Mendeliar. Dia mempertahankan dirinya dengan hujah yang lemah. Malah dia melakukan pembohongan secara terang-terangan untuk menafikan perkara tersebut. Semua maklum. Namun, Mendeliar tetap berpura-pura menyatakan dirinya tidak bersalah atas penurunan prestasi para pekerjanya. Malahan, Mendeliar mengugut untuk menyaman sesiapa sahaja yang menyerangnya dengan tuduhan berkenaan.
    Ketika segala hal menjadi terang dan begitu juga mataku, Mendeliar dapat mengagak tentang perilaku seorang wartawan muda yang mencurigakan di pejabatnya. Dalam sebuah akhbar indie, wartawan itu pernah mendedahkan skandal orang-orang ternama dengan perempuan simpanan mereka. 
    Mendeliar mengesan bahawa wartawan itu berjumpa dengan beberapa orang penting dalam syarikatnya. Pasti ada sesuatu kemusykilan yang tertebak dalam fikiran. Rasa sangsi bergentayangan. Wartawan itu menerbitkan akhbar sendiri. Tentu persoalan modal dan aspek kewangan menjadi satu pertanyaan yang bergantungan di dawai minda. Wartawan itu hanya menggunakan kereta Proton Saga generasi pertama yang dikeluarkan pada tahun 1985. Bunyi enjinnya boleh menandingi enjin generator yang digunakan di rumah kebun atau di kawasan pedalaman. Mendeliar meramal bahawa penerbitan akhbar tersebut ditaja oleh seseorang.

 

     Sebelum sempat wartawan itu menyiarkan artikelnya, Mendeliar telah menyuruh pengawal peribadinya melakukan penggeledahan pada komputer riba dan merampas pemacu pena milik wartawan tersebut. Apabila diteliti, wartawan itu hanya menulis tentang nyamuk. Mendeliar tidak dapat mengaitkan artikel itu sebagai serangan ke atas dirinya. Wartawan itu menulis tentang pandangan John McNeil, seorang profesor sejarah dan pengarang buku Mosquito Empires yang menyebutkan dalam sesetengah keadaan, nyamuk boleh mempengaruhi perubahan dunia. Dalam sejarah peperangan abad ke-20, jumlah korban akibat penyakit lebih banyak berbanding akibat senjata. Kebanyakan penyakit ini dibawa oleh nyamuk – makhluk penghisap darah.
Wartawan itu juga mengulas pandangan Gordon Patterson, penulis buku The Mosquito Wars. Ketika Perang Dunia Kedua, pihak Amerika memperoleh kelebihan ke atas tentera Jepun kerana nyamuk. Mereka menghantar 10,000 tentera ke kawasan aktif malaria di Selatan Pasifik kerana mempunyai kelengkapan dan kepakaran untuk mengatasi demam malaria berbanding Jepun.
Wabak yang datang daripada binatang atau benda yang hina ini turut dikaitkannya dengan sepotong ayat al-Quran yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 26)
Ketika mengulas ayat ini, wartawan itu membuat satu kesimpulan pada akhir artikelnya dengan pandangan ulama tafsir yang menukilkan satu kenyataan dalam kitab mereka: “Nyamuk itu hidup ketika lapar dan menjadi mati ketika gemuk (kenyang).”
    Ayat itulah menyebabkan Mendeliar tersandar di kerusi empuknya dengan kerutan di dahi seperti benang berselirat. Dia tersentak memikirkan konotasi daripada ayat tersebut. Keluhan tertahan dalam dada hingga terasa sesak. Tidak dilepaskan di hadapan orang-orang bawahannya. Dia tidak dapat menghentikan ketagihan pada darah pekerjanya. Mendeliar berasa mabukkan darah dan kuasa. Dia yakin, hanya darah pekerjanya yang merupakan golongan kebanyakan terasa lazat dicicip dan dinikmati.
    Mendeliar dapat juga menghidu penentangan dan operasi rahsia daripada beberapa orang pengerusi cawangan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah yang cuba menjatuhkannya yang diketuai oleh Bentan – sekali lagi, hanya kebetulan ada persamaan nama tetapi langsung tidak ada kaitan dengan Laksamana Bentan melalui kisah sejarah ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’. Mungkinkah anak-anak syarikat itu memisahkan diri daripada syarikat induk seperti yang dilakukan oleh Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgizstan, Turkmenistan, Azerbaijan, Ukraine dan beberapa negara lain yang memisahkan diri daripada Soviet Union. Mendeliar tidak akan membenarkan perkara itu berlaku – khuatir nanti anak-anak syarikat tersebut bergabung dengan syarikat besar lain seperti yang dilakukan oleh Ukraine yang ingin menyertai North Atlantic Treaty Organization (NATO). Dia tidak akan tunduk dengan segala tekanan. Dalam perniagaan juga mempunyai politik yang tersendiri – adu domba, sogok dan tumbuk rusuk – sudah menjadi perkara biasa hingga mengotorkan makna politik. Niccolo Machiavelli mengungkapkannya: Matlamat yang menghalalkan cara. Ramai pengamal ungkapan ini. Mereka secara terang mengambil apa-apa hal yang menguntungkan mereka, walaupun rakyat menjadi mangsa. Keenakan memegang jawatan telah menghanyutkan mereka, jauh ke lautan politik yang kotor itu.
    Menurut Mendeliar, laporan yang disampaikan kepadanya menyemarakkan rasa amarahnya mengikuti sepak terkam orang-orang yang tidak senang dengan fiil buruknya. Laporan itu ditulis secara telus, menerangkan perancangan yang menyodorkan petunjuk. 
    Aku tahu bagaimana penentangan itu datang kepadanya dengan langkah teliti dan aku tahu ketika itu angin dari jendela yang terbuka menerbangkan debu-debu. Dia sedang duduk di kerusi empuknya dengan darah mendidih kepanasan yang memanggang jiwa. Mendeliar memikirkan bagaimana cara menumpaskan musuh-musuhnya yang mula mengetahui dan tidak senang dengan perilaku buruknya yang ketagih dan mabukkan darah pekerjanya. 
    Mendeliar menggelar Bentan pengkhianat sebab tidak ada sebutan lain yang lebih tepat setelah dia mendidiknya dalam ilmu perniagaan. Dia tidak pernah keliru melabelkan gelaran itu pada Bentan. 
    Sungguh dia berasa menyesal, kenapa dia terus mengangkat Bentan sebagai orang kepercayaan sedangkan keraguannya sudah terbit lama dalam jiwa. Ah, hatinya lembik melihat wajah Bentan yang polos! Ketika seharusnya dia menutup pintu, hati lempungnya justeru mengambil keputusan yang keliru. Mendeliar memberikan peluang lagi, sebaik-baik tempat yang dapat disediakan untuk Bentan.
    Hari ini, akhirnya aku sampaikan perkhabaran ini, berita yang mengejutkan setelah tertunda sekian lama, sesuatu yang tidak dijangka. Setiap pekerjaan besar memang memerlukan perancangan, ketelitian, tekad dan keberanian; semua itu dapat dimulai dengan rutin biasa tatkala Mendeliar memanggil Bentan masuk ke pejabatnya. Cuma waktunya sahaja yang bukan kebiasaan. Hari sudah lewat petang – majoriti pekerja sudah balik. Tiada lagi kedengaran kekunci komputer yang diketik. 
    Petang itu, ketika Bentan yang dilabel oleh Mendeliar sebagai pengkhianat datang ke pejabatnya, dia cuba menguatkan hatinya. Dia tidak mahu menghisap darah Bentan kerana dia hanya ketagihan darah pekerjanya – dalam institusi kenegaraan merujuk kepada golongan marhaen. 
    Hanya saja, bagaimanapun, Bentan melangkah makin dekat kepadanya dan Mendeliar beranggapan, seperti biasa Bentan akan meminta maaf atas kesilapannya. Mendeliar menarik dan menghembuskan nafas seteratur mungkin pada saat menggambarkan semua itu. Dia menggambarkan tentang darah Bentan – maka dia akan menjadi pemabuk yang menuangkan darah ke kerongkongannya untuk membiarkan darah itu mengubati luka hatinya. Tentu sahaja dia harus mengatur nafas untuk meredakan kekalutan dalam fikirannya. 
    Bentan semakin menghampiri Mendeliar. Mata mereka bertembung. Mereka bersemuka dalam jarak yang sangat rapat. Mendeliar berfikir – perlukah dia memindahkan Bentan untuk mengurus anak syarikat mereka yang terletak di daerah kecil? Semua itu sebagai langkah pengasingan lebih-lebih lagi untuk mengurangkan pengaruh Bentan dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah.
    Sewaktu mata Mendeliar terlalai seketika hingga menoleh ke mejanya, pada waktu itulah Bentan menyerang leher Mendeliar yang kaku melemah. Gigitannya rakus tanpa memberi peluang kepada Mendeliar untuk mendongak. Tubuh Mendeliar melemah sewaktu dia mendengar Bentan membisikkan sesuatu di telinganya, “Menghisap darah daripada sebuah pengkhianatan lebih nikmat kerana kesannya lebih besar. Mungkin kau tidak tahu atau ragu-ragu tentang perkara tersebut.”
    Itulah pengakhiran kekuasaan dan pengaruh Mendeliar. Ada yang mengatakan bahawa kejatuhannya disebabkan oleh kerakusannya. Pandangan lain meletakkan pengkhianatan menjadi sebab utama kejatuhannya daripada kerusi primer di syarikatnya.
    Kau juga pasti mempunyai pandangan yang berbeza. Kau boleh menulis pandangan tersebut di sini: ____________________________________.
    Yang pasti, nama Mendeliar dan Bentan tidak mempunyai kaitan dengan kisah sejarah. Semua itu hanya kebetulan. Dan nama aku pula – Kitol – juga tidak ada kaitan dengan semua kisah sejarah dulu, cuma ada kaitan dengan cerita ini kerana aku menjadi pencerita untuk kisah penghisap darah yang kemabukan rasa.

 
 


    

Advertisement