Anda di sini

CIDB arah henti operasi pembinaan, pekerja gagal kemuka perakuan akreditasi

Advertisement
 Rosmen (tengah) memerhatikan anggotanya menjalankan pemeriksaan dokumen serta perakuan akreditasi pekerja binaan dalam operasi bersepadu di sini semalam.
PERIKSA: Rosmen (tengah) memerhatikan anggotanya menjalankan pemeriksaan dokumen serta perakuan akreditasi pekerja binaan dalam operasi bersepadu di sini semalam.

PENAMPANG: Sebuah tapak pembinaan di Cyber City di sini diarah untuk berhenti beroperasi serta merta selepas sebahagian besar pekerja binaan gagal mengemukakan perakuan akreditasi.

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sabah Rosmen Ag Hassan berkata tindakan itu dilaksanakan selepas kontraktor utama gagal mematuhi Seksyen 33A yang dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bersama Jabatan yang dijalankan di tapak pembinaan terbabit di sini semalam.

“Hasil siasatan mendapati terdapat 325 pekerja keseluruhan di dalam tapak pembinaan terbabit termasuk 135 pekerja asing, bagaimanapun hanya 46 yang mempunyai kad perakuan akreditasi dan selebihnya belum dikenalpasti mempunyai kad perakuan pekerja mahir yang sah itu.

“Sepanjang operasi dilaksanakan, pihak CIDB juga mengesan bahan binaan yang mencurigakan dan memerlukan pemeriksaan terperinci.

“Untuk kesalahan terbabit, pihak kontraktor kemudiannya diberikan empat notis termasuk notis meminta maklumat, notis arahan hadir, notis kesalahan akreditasi serta notis pemberhentian dan diberi tempoh tujuh hari untuk memenuhi kriteria yang dikehendaki,” katanya semasa ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu di tapak pembinaan terbabit.

Bercakap lanjut berkenaan operasi ini, Rosmen berkata pihak kontraktor binaan turut menerima amaran lisan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Penampang (MDP) berkenaan pengurusan sampah ditapak pembinaan dan kelengkapan keselamatan pekerja.

Tambahnya amaran lisan turut diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berkaitan kesalahan mengikut Akta 154 iaitu Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Beliau berkata operasi bersepadu yang disertai 38 anggota membabitkan pelbagai agensi termasuk JKNS, MDP, Akedemi Binaan Malaysia (ABM), serta CIDB cawangan Sandakan dan Tawau itu diadakan bagi memastikan Akta 520 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) dipatuhi pihak kontraktor.

Katanya Akta 520 LPIPM antara lain memastikan pematuhan lima skop iaitu Pendaftaran Kontraktor bagi Seksyen 25, Seksyen 33A(1) bagi Akreditasi, Seksyen 34 untuk Pengenaan Levi, Personel Binaan di Seksyen 33 dan Bahan Binaan yang termaktub dalam Seksyen 33D(1).

Dalam pada itu katanya, CIDB Sabah berjaya melaksanakan 4,700 pemeriksaan tapak binaan sejak 2020 sehingga kini dan 80 pemeriksaan berjaya dijalankan dalam tempoh Januari sehingga Mac tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement