Anda di sini

Idiosinkrasi Kepenyairan Abizai (Bahagian 2)

Advertisement
 


Oleh Jeniri Amir

SEPANJANG perjalanan kepenyairannya, Abizai telah menghayati setiap pengalaman dan pemerhatian yang mengusik tasik jiwanya dengan sebaik-baik mungkin dan hampir setiap orang yang dikenalinya ditumpahkan bersama-sama dengan duka lara hidup mereka ke dalam baris-baris puisi beliau. Begitu juga dengan manusia yang diamati dan ditemuinya dalam perjalanan hidup dan kembaranya di dunia ini, termasuk manusia biasa di jalanan. Penemuannya itu penemuan penyair yang turun ke bawah dan cuba memahami gerak rasa manusia di sekitarnya berbekalkan bahasa, kemahiran dan bakat kepenyairannya. 
Dalam Sinar Benar, sebahagian besar puisi Abizai adalah berkaitan dengan persoalan dan tema keagamaan dan ketuhanan, pengakuan terhadap kekerdilan diri dan keagungan Allah. Puisi ketuhanan dan keagamaan yang dilahirkan mengandungi mesej tentang pentingnya manusia sentiasa bergerak di atas landasan yang betul seperti dianjurkan oleh agama, yakni mengelak daripada kelekaan dan kesesatan. 
Berdasarkan puisi dalam kumpulan Sinar Benar, daripada tajuknya sudah terserlah sinar benar yang dimaksudkan oleh beliau. Unsur dan teras Islam begitu menonjol dalam kebanyakan puisi dalam kumpulan itu. Perlunya keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani, penyair menganggap Tuhan sebagai penyair abadi, kekerdilan diri dan keagungan-Nya, kehebatan kuasa Amerika Syarikat tetapi kuasa Tuhan lebih hebat dan mengingati dosa waktu solat. Yang jelas, makna, mesej dan nilai yang terkandung menekankan pentingnya manusia berpegang pada ajarannya menuju kepada tauhid Islamiah. Semua ini disampaikan secara halus, tidak langsung, dan berkesan oleh penyair melalui penggunaan diksi, lambang, imej dan metafora yang segar sehingga puisinya berjaya menimbulkan kesan keindahan dan kesedaran kepada pembaca. Jelaslah selain menyentuh hubungan horizontal dengan alam dan manusia, penyair ini memberi perhatian berat terhadap hubungan vertikal dengan Penciptanya.
Namun ini tidaklah pula bermakna bahawa puisi dalam kumpulan Sinar Benar hanya menyentuh tema dan persoalan keagamaan dan ketauhidan. Sebaliknya, penyair turut mengungkapkan tema dan isu bahasa kebangsaan yang diperlekeh, ingatan dan penghormatan penyair kepada penyair idolanya, T. Alias Taib dan sahabatnya yang meninggal.
Beliau juga menggarap tema agama Islam sebagai paksi penyatuan orang Melayu, Gua Niah sebagai pusat peradaban, kisah mangsa ragut dan along, kejadian duka seperti pemerkosaan, masalah remaja terbabit dalam dadah, pembangunan membawa kehancuran nilai dan moral, pandangan penyair tentang sajak yang bagus, tentang ilham, isu tentang sikap yang perlu ada pada pengguna dan peniaga, dan kawan yang pernah akrab tetapi kemudiannya semakin menjarak kerana pangkat.
Abizai juga menulis tentang kemenangan selepas berpuasa menjelang Hari Raya, nasib warga Palestin dan Lubnan, pengorbanan yang diperlukan untuk kemajuan dan pembangunan kota, penghargaan terhadap pengorbanan dan perjuangan Harimau Sarawak dalam menentang penjajah di Sarawak, kenangan terhadap Kampung Dagang di Miri yang ditelan pembangunan, kota kemajuan yang membawa bersama-samanya hiburan dan kemaksiatan, pengalaman menjejakkan kaki ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia, serta doa agar tidak sesat dan keliru dalam kehidupan.
Puisi keagamaan dan ketuhanan juga terkandung dalam kumpulan-kumpulan lain, termasuk kumpulan awal Mengenal yang Asal (2000). Terdapat 30 buah puisi dalam kumpulan ini yang dihasilkan antara tahun 1997 hingga 2000. Hal ini, dapat dikesan seperti dalam “Lima Temu Janji” tentang pentingnya menjaga solat lima waktu kerana ia “penyekat nakal niat/ menyeberang ke pulau maksiat”, juga “penawar hebat/ gelisah jiwa yang sesaat/ akan menjadi jaring penapis/ pengawal gelojoh nafsu/ yang sering bertindak melulu.” Keinsafan seorang insan untuk kembali kepada-Nya terpancar dalam “Pulang” seperti terdapat dalam baris “Kini aku pulang/pulang ke kampung halaman insaf/setelah pengembaraan leka yang panjang.”
Dalam “Doa”, penyair menghantar mesej betapa pentingnya manusia tidak lupa diri setelah berjaya, sebaliknya perlu insaf akan kekerdilan diri agar tidak bongkak, megah, mabuk kejayaan dan sebagainya sehingga lupa akan Maha Pencipta.  “Lilin dan Api” dan “Jika Aku Tidak” juga membawa tema dan persoalan keagamaan. Beliau menyifatkan Tuhan sebagai lilin membekalkan api yang menerangi ruang kamar sedangkan dirinya hanya tumpang berteduh. Dalam “Jika Aku Tidak” pula penyair mengingatkan dirinya supaya sentiasa mengingati dan merindui-Nya untuk mendapatkan kasih, belas, dan reda-Nya. Kalau tidak, hidup adalah tanpa tujuan, palsu dan sia-sia.
Karya lain dalam kumpulan ini mencerna pelbagai tema dan persoalan termasuk keinginan penyair untuk kembali ke masa silam, rakaman jasa dan pengorbanan pejuang seperti Rosli Dhoby, Harimau Sarawak atau Mat Rimau, Awang Rambli dan lain-lain, kemerdekaan, kerinduan terhadap kerenah anak saudara, ancaman jerebu, kerakusan manusia, sikap enteng terhadap bahasa kebangsaan, sebaliknya mengagung-agungkan bahasa Inggeris, tentang sahabat yang ikhlas, sifat marah manusia yang membawa kerugian, keangkuhan kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang dianggap sebagai koboi dunia, dan isu bahasa.
Dalam Sinar Benar, sebagaimana terserlah daripada tajuknya, kebenaran hakiki yang cuba dicari. Justeru, kebanyakan puisi dalam kumpulan ini menjurus kepada persoalan keagamaan dan ketuhanan. Penggarapan tema keagamaan dan ketuhanan memang menuntut banyak pengetahuan dasar tentang keagamaan, bukan sahaja tentang Islam, tetapi juga pengetahuan teologi lain bagi memperkaya tanggapan, renungan dan perspektif penyair. Diperlihatkan bagaimana manusia berhubung secara vertikal dengan Allah sebagai hamba dan bagaimana manusia, termasuk penyair berinteraksi dengan manusia sebagai khalifah. Hubungan dengan manusia secara horizontal ini kadang-kadang membawa kesejahteraan, dan tidak kurang pula membawa masalah disebabkan sifat dengki, iri dan sifat-sifat negatif yang lain. Ada manusia yang berjaya dan hidup penuh nikmat, tidak kurang pula yang menderita dan bermasalah.

 

Namun, satu kelebihan dalam puisi beliau adalah ia tidak bersifat propagandistik atau didaktik, mengajar secara langsung dan mentah ala khutbah pendakwah agama. Memang, satu daripada tujuan puisi keagamaan dan ketuhanan adalah untuk menyampaikan kebenaran, nilai mulia dan murni, sesuai dengan ajaran agama agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul, dan tidak tergelincir atau sesat dalam kehidupan. Puisi keagamaan yang bersifat filosofikal, meneroka ke alam mistik dan ruang makna kehidupan yang lebih mendalam terpancar dalam kumpulan ini. Secara khusus, jika sebelum ini jelas cakupan persoalan yang digarapnya adalah lebih kepada cinta, pengalaman seharian, kemasyarakatan, isu sosial, politik, bahasa, alam dan sebagainya, memasuki dekad ketiga pembabitannya, beliau mulai secara serius menggarap puisi bertemakan keagamaan dan ketuhanan. Hal ini jelas dipancarkan dalam kumpulan ini yang memuatkan puisi yang dilahirkan dari 2000 hingga 2010.
Dalam hubungan ini, Iqbal pernah menyatakan bahawa kesenian akan lebih bermakna untuk mengecapi kejayaan dalam hidup, membina personaliti dan perwatakan yang mencontohi sifat para nabi malah penyair wajar menjadi mata negara dan hati bangsa (Shariff, 1976). Yang pasti seperti dinyatakan oleh Robert Frost, puisi yang baik harus bermula dengan hiburan atau keseronokan, dan berakhir dengan kebijaksanaan. Implikasinya, puisi perlu mempunyai mesej dan nilai tertentu yang dapat dipegang oleh khalayak, tetapi nilai berkenaan tidak harus disampaikan secara langsung atau literal, sebaliknya diadun dengan stail tertentu yang mementingkan estetika.
Namun, bukan semua persoalan mempunyai jawapan atau dapat difahami kerana kadang-kadang beliau cuba berselindung di sebalik imej, diksi dan lambang yang sukar ditafsir. Itulah sebabnya, ada soalan yang tidak ada jawapan, tetapi sering beliau memberi kita petunjuk dan jalan keluar.  Berbanding dengan puisi-puisi awal terutamanya pada dasawarsa 1980-an, yang agak langsung dari segi imej dan lambang, puisi kemudian memperlihatkan bahawa penyair ini lebih banyak merenung, menukik ke dalam inti persoalan, dan tidak sekadar menjadi pencatat.
Merdeka Burung dan Kitab Rahsia agak lari daripada konvensi atau kebiasaan dari segi tema dan persoalan kebanyakan puisi. Kebanyakan puisi dalam kumpulan ini menggunakan lambang dan agak taksa dari segi maksud, sekali gus menuntut pentafsiran dan pemahaman tertentu. Puisi beliau cuba mengelak daripada berbicara secara langsung atau menyampaikan maksud secara literal. Sebaliknya, lambang, imej dan diksinya menghantar bayangan maksud berkaitan dengan dunia metafizika. Dapat dikesan bayangan penyair sufi seperti Jalaluddin Rumi dan Hamzah Fansuri dari segi bagaimana maksud disampaikan dan baris dibentuk.
Dalam pada itu, tema dan persoalan lain yang disentuh adalah betapa pentingnya isteri bersikap setia kepada suami, dan melupai lelaki lain, pilihan untuk menyendiri dan memilih sepi untuk berkelana ke dalam diri, kekejaman tentera rejim Zionis yang melakukan serangan ke atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean pada 31 Mei 2010. Tragedi berdarah itu telah menjadi titik hitam menggemparkan dunia, peranan penyair yang terus berkarya yang menyelitkan kebijaksanaan melalui ungkapan penuh keindahan.
Tema dalam kumpulan ini juga menyentuh tentang  bagaimana diri didedahkan melalui puisi, peranan ilham dalam karya dan bahawa ilham datang daripada-Nya, ingatan guru betapa pentingnya penyair turut memuatkan tentang kebesaran Tuhan dalam puisinya, kecintaan penyair terhadap kebesaran-Nya, kekuasaan Allah SWT, rahmat dan kasih sayang Tuhan kepada insan, penzahiran insan mengakui kebesaran-Nya dan kesediaan berserah dan mengabdi diri kepada-Nya, sambutan Maulidur Rasul, penghargaan serta selawat dan salam untuk Rasul junjungan. Juga berkaitan manusia yang kasut saja berkilat, tetapi kaki tetap melangkah ke lorong maksiat, keikhlasan perbuatan untuk mendapatkan pahala, ingatan supaya tidak mudah melepaskan amarah, serta keazaman penyair untuk memetik kearifan daripada warisan dan budaya tempatan.
Hakikatnya, dua buah kumpulan itu memperlihatkan kematangan dan percubaan penyair untuk menggabungkan unsur alam, keagamaan, kerohanian dan ketuhanan. Terpancar nilai-nilai murni yang disalurkan melalui baris penuh kiasan dan perlambangan yang kadang-kadang menguji kita untuk mentafsir dan memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan. 
Melalui kumpulan Pemburu Kata Merdu, penyair antara lain menggarap tema dan persoalan berkaitan dengan usaha, kesungguhan dan pengorbanan penyair menulis puisi dengan menyaring bahasa bagi menyampaikan perutusan dan makna melalui bahasa yang indah. Selain cinta biasa, penyair turut mengungkapkan cinta agung terhadap-Nya melalui puisi-puisinya dalam kumpulan ini, betapa perlunya kadang-kadang untuk tidak berkata-kata agar “tanpa mengocakkan sukma orang lain”, bagaimana sesetengah puisinya disalah tafsir maknanya namun penyair tidak marah.
Penyair juga tidak lupa untuk menyatakan kekesalannya tentang nasib bahasa kebangsaan yang diabaikan, ajakan penyair supaya masyarakat mengunjungi perpustakaan untuk “memetik pengetahuan berbuah ranum/ kerana membaca menumbuhkan kausa/ menjadi manikam berharga di luar sana”. Beliau juga mengabadikan puisi untuk mengenang jasa guru tentang ajaran, pesanan, pujukan dan budi guru. Selain guru, jasa ibu juga amat dihargainya kerana ibu ialah pohon rimbun, hujan rawan, angin lembut. Kata penyair: “kau lebih mulia daripada segala kata/sehingga puisiku tak mampu tepat memuja.” Tema lain yang digarap ialah kedatangan Ramadan, betapa pentingnya mempunyai hati yang bersih, peristiwa Israk dan Mikraj serta kenangan terhadap teman sekolah rendah dan menengah ketika kembali bersua.
Menghayati kumpulan puisi beliau setakat ini, dengan sendirinya kita diajak menelaah bahasa pengalaman seorang penyair terkemuka tanah air. Yang jelas, dia bebas memanfaatkan imej, diksi dan ungkapan, serta membentuk metafora dan baris bagi memungkinkannya menjadi saluran perasaan, fikiran dan pengamatannya yang berkesan. Pada amnya puisi beliau adalah bersifat komunikatif, khususnya pada peringkat awal seperti diperlihatkan dalam “Mengenang yang Asal.
Dalam kumpulan ini, beliau menggarap soal bahasa, rakyat Malaysia yang tidak pedulikan bahasa Melayu, sebaliknya megah menggunakan bahasa Inggeris, keinginan untuk melihat bahasa kebangsaan digunakan secara meluas sehingga ke pelosok kampung, perlu adanya kerjasama dan tolak ansur antara rakyat dengan pemimpin, isu rasuah, pentingnya menjaga amanah, sikap dwistandard dan sikap kepura-puraan Amerika Syarikat, penderitaan Bosnia-Herzegovina, penyalahgunaan dadah, dan pentingnya memahami sejarah negara dan bangsa. Selain itu, yang jelas soal kebobrokan manusia, kerakusan, ketidakjujuran, fenomena alam juga tidak terlepas daripada pemerhatian penyair ini.
Beliau juga mengungkapkan tema pasangan kekasih yang baru mendirikan rumah tangga, rumah tangga yang roboh, ciri-ciri warga sejati, betapa mudahnya berhutang dan berat membayarnya sehingga tali persahabatan terputus, perjuangan dan pengorbanan seniman dan penyanyi mengangkat maruah seni, rasuah dalam bola sepak, ketabahan dalam kehidupan dan usaha kerana bukan semuanya akan mencapai kejayaan, kesesatan dan keinsafan kembali ke pangkal jalan dengan azam kental, peperangan disebabkan dendam, dan kegetiran dan debaran dihadapi sebelum kejayaan digapai.
Tema idealisme tentang Malaysia yang berjaya dan masyhur di peringkat antarabangsa, dan maju semua segi, nilai yang perlu dipegang oleh peniaga dan pengguna, nasihat dan tegur kepada sahabat yang lupa diri dan ego, jasa pemimpin yang amanah, anak perempuan yang terpaksa mendirikan rumah tangga bukan dengan pasangan yang dicintainya hanya kerana tidak mahu menyakiti hati ibu bapa, pesanan dan ingatan kepada golongan remaja agar menjaga peribadi dan mengejar ilmu, dan bukan leka dengan hiburan, pentingnya memelihara alam sekitar, jangan salahkan muzik jika akhlak anak muda rosak, penyakit AIDS dan Coxsackie B, muzik dan lirik sama penting dalam lagu, dan perlu belajar daripada kegagalan untuk bangkit semula turut disentuh.

 
 
Advertisement