Anda di sini

KK rekod 2,443 kompaun kesalahan kesihatan awam 

Advertisement
 Suhaila (kiri) bersama penguat kuasa kesihatan menjalankan pemeriksaan di salah satu premis dalam operasi itu.
PERIKSA: Suhaila (kiri) bersama penguat kuasa kesihatan menjalankan pemeriksaan di salah satu premis dalam operasi itu.

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,443 kompaun dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu bermula tahun lepas sehingga hari ini melibatkan penguatkuasaan akta dan peraturan berkaitan kesihatan awam.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr. Suhaila Osman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,355 kompaun dikeluarkan sepanjang 2021 manakala, 88 kompaun dikenakan setakat 7 Mac 2022.

Katanya, kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi penguatkuasa, merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,053 kompaun tahun lepas dan 61 kompaun tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 125 kompaun Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 direkodkan termasuk 116 kompaun tahun lepas dan sembilan kompaun tahun ini.

"Bagi kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, sebanyak 164 kompaun dikeluarkan membabitkan 160 kompaun pada 2021 dan empat kompaun setakat hari ini.

"Selain itu, turut direkodkan sebanyak 40 kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan membabitkan 26 kompaun tahun lepas dan 14 kompaun tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini hari ini.

Operasi yang dipanggil 'Ops Opocot 3 in 1' itu membabitkan pemeriksaan ke atas 500 premis dan 1,500 individu di kawasan Jalan Gaya, Kampung Air dan Asia City di sini.

Suhaila berkata, semasa operasi itu, seramai 10 individu dikenakan kompaun akibat gagal mendaftar masuk ke dalam premis menggunakan aplikasi MySejahtera.

Selain itu jelasnya, dua kompaun kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di dalam premis, manakala satu kompaun masing-masing atas kesalahan menjual apa-apa rokok di bawah harga minimum dan merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat makan.

Katanya, selain operasi bersepadu, pihaknya juga kerap menjalankan operasi secara bersendirian bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat setempat.

"Objektif operasi ini adalah untuk memastikan masyarakat patuh kepada undang-undang kesihatan awam yang sedang berkuat kuasa melalui tindakan penguatkuasaan.

"Ia bagi melindungi orang awam daripada bahaya seperti asap rokok, perebakan penyakit berjangkit dan keracunan makanan.

"Ada premis makanan yang didapati tidak mematuhi akta-akta kebersihan makanan dan kita memberikan nasihat sebelum tindakan susulan diambil," jelasnya.

Menurutnya, selalunya premis akan diberikan tempoh selama seminggu sebelum pemantauan semula dijalankan. Jika didapati masih kotor, tindakan segera akan diambil sama ada penutupan premis atau dikenakan kompaun.

Dalam pada itu katanya, hasil pemerhatian pihak kesihatan di daerah ini, pematuhan SOP dalam kalangan warga bandaraya agak baik.

"Saya lihat ramai yang ada kesedaran diri untuk patuh SOP dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial serta mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement