Anda di sini

Gadis Kejaman dari Belaga berhasrat menjadi jurutera

Advertisement
Yasmin (dua kiri) ditemani ibu bapa serta ahli-ahli keluarganya ketika mendaftar di PMU.
Yasmin (dua kiri) ditemani ibu bapa serta ahli-ahli keluarganya ketika mendaftar di PMU.

MUKAH: Walaupun terpaksa menempuh perjalanan lebih 300 kilometer dari tempat kelahirannya, Yasmin Banau Sumoi, 19, sanggup berjauhan dengan keluarga demi menggapai cita-citanya.

Anak kelahiran Uma Kejaman Lasah, Long Segaham (Levuk Naju’uk) di daerah Belaga ini selamat mendaftar di Politeknik Mukah (PMU) di sini, baru-baru ini.

Beliau menyahut cabaran apabila ditawarkan mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik. 

Mungkin pada mulanya ada sedikit kerisauan apabila memikirkan jarak antara beliau dan keluarga, namun beliau nekad enggan menjadikannya sebagai batu penghalang.

"Saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang jurutera apabila berjaya menamatkan pengajian nanti," katanya kepada Utusan Borneo.

Selain Yasmin, harapan tinggi itu turut dikongsi bersama ibu bapa serta ahli keluarganya yang turut menghantarnya ke PMU.

Apa yang pasti, segala restu dan iringan doa mereka akan sentiasa turut mengiringi Yasmin sepanjang pengajiannya nanti.

Kedua-dua orang tua Yasmin bukan setakat mendoakan kejayaan anak mereka itu, malah turut berharap Yasmin menjadi contoh serta teladan kepada anak-anak kampung yang lain apabila berjaya satu hari nanti.

Walaupun berbangsa minoriti Sarawak, perkara itu tidak sedikitpun menjadi penghalang baginya untuk terus mengejar impian dan cita-cita.

Malah, ia menjadi satu kekuatan dan motivasi bagi mengecap kejayaan dalam menuju ke puncak menara gading.

Seramai 270 pelajar baharu berjaya mendaftar di PMU bagi Sesi II 2021/2022. Kaedah pendaftaran adalah melalui pandu lalu yang berlangsung lapan jam bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada 28 Februari lalu. 

Jurusan ditawarkan dan didaftarkan oleh pelajar ialah Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital), Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Sains Kesetiausahan.

Proses pendaftaran dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
 

  • oleh
  • Advertisement