Anda di sini

Program Jerayawara Keluarga Malaysia tambah pengetahuan kepada rakyat

Advertisement
 Juliah menerima cendera kenangan daripada Penolong Pengarah Kanan LPPKN Sabah, Suszma Khairitszi Mamat sempena Majlis Perasmian Program Jerayawara Keluarga Malaysia Keluarga@Kerja di Dewan Serbaguna Balai Polis Tuaran di sini.
KENANGAN: Juliah menerima cendera kenangan daripada Penolong Pengarah Kanan LPPKN Sabah, Suszma Khairitszi Mamat sempena Majlis Perasmian Program Jerayawara Keluarga Malaysia Keluarga@Kerja di Dewan Serbaguna Balai Polis Tuaran di sini.

TUARAN: Rakyat di negeri ini khususnya golongan ibu dan suri rumah disarankan untuk mengambil peluang hadir pada Program Jerayawara Keluarga Malaysia bagi menambah pengetahuan berkaitan institusi kekeluargaan dan penjagaan kesihatan.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata program yang dimulakan di Tuaran ini adalah titik permulaan kepada siri penjelajahan program ke seluruh negeri mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), berkata program ini memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama wanita khususnya dalam aspek pembangunan dan pengukuhan institusi kekeluargaan serta kesihatan.

“Sehubungan itu, saya berharap lebih ramai wanita khususnya golongan ibu, suri rumah dan wanita yang bekerja untuk meluangkan masa hadir dalam program seperti ini yang turut diadakan di beberapa kawasan lain.

“Program seperti ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu wanita lebih peka dengan penjagaan kesihatan diri selain menimba pengetahuan baharu berkaitan institusi kekeluargaan serta mendapatkan nasihat kesihatan yang berkaitan.

“Wanita perlu sentiasa menjaga kesihatan berikutan kita adalah orang penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Keluarga Malaysia: Keluarga@Kerja yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah Mutiara GRS di sini semalam.

Juliah berkata selain daripada program pendidikan kekeluargaan, Perkhidmatan Keluarga Bergerak (PKB) LPPKN turut disediakan antaranya bagi memberikan khidmat nasihat kesihatan, saringan pemeriksaan kesihatan dan pendaftaran mamogram secara percuma kepada wanita yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Saya yakin dengan perlaksanaan program Jerayawara ini, peserta akan mendapat manfaat dalam aspek kesihatan selain kekeluargaan termasuk bantuan subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement