Anda di sini

Tuai rumah didenda akibat mendorong Snowdan Lawan serahkan RM50,000 

Advertisement
 Tertuduh (kanan) mengaku bersalah mendorong ADUN Balai Ringin menyerahkan cek berjumlah RM50,000. 
MENGAKU SALAH: Tertuduh (kanan) mengaku bersalah mendorong ADUN Balai Ringin menyerahkan cek berjumlah RM50,000. 

KUCHING: Tuai Rumah Kampung Ensebang Kuari Baru, Serian didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mendorong ADUN Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan menyerahkan wang peruntukan RM50,000 bagi pembaikan dan penyelenggaraan jalan kampung tersebut.

Pengakuan itu dibuat oleh Alek Libau, 59, sebaik pertuduhan alternatif dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Steve Ritikos. 

Mengikut pertuduhan alternatif, tertuduh didakwa mendorong Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan tersebut sehingga mangsa bertindak menyerahkan cek berjumlah RM50,000 di sebuah kedai kopi di Tabuan Jaya di sini. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 8 September 2018, antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Mengikut keterangan kes, pemberian cek dibuat atas nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ensebang Kuari Baru, dari Tabung Serbaguna N25 Balai Ringin yang diperuntukkan untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan di kampung tersebut. 

Fakta kes juga mendedahkan tertuduh yang merupakan Tuai Rumah Kampung Ensebang Kuari di Balai Ringin sejak 2008 menerusi surat permohonon telah memohon peruntukan RM50,000 pada 1 September 2018 daripada mangsa untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya kampung. 

Pada 6 September 2018, permohonan tertuduh diluluskan dan satu cek dikeluarkan dari pejabat mangsa. 

Seterusnya pada 8 September 2018, tertuduh berjumpa dengan mangsa di kedai kopi tersebut dan mangsa telah menyampaikan sendiri cek berkenaan kepada tertuduh. 

Satu bayaran baucar bertarikh 6 September 2018 dan surat bertarikh 8 September 2018 juga telah ditandatangani oleh tertuduh yang mengakui penerimaan cek itu.

Bagaimanapun pada 23 Oktober 2018, fakta kes menyatakan tertuduh telah membuat pengeluaran berjumlah RM35,000 daripada akaun JKKK kampung tersebut. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh membeli sebuah lori.

Lori berkenaan dikatakan disewa kepada sebuah syarikat untuk mengangkut kelapa sawit sedangkan duit yang dikeluarkan dari Tabung Serbaguna N25 Balai Ringin hanya bertujuan untuk kebaikan komuniti Balai Ringin dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. 

Oleh itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Nisla Abdul Latif. 

Tertuduh diwakili peguam George Lo, Jonathan Tay, Ralph Lee dan Francis Wee.

Advertisement