Anda di sini

Rompak kedai, tiga lelaki mengaku tak bersalah

Advertisement

KUCHING: Tiga sekawan masing-masing mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompakan secara berkumpulan di sebuah kedai serbaneka 24 jam dengan bersenjatakan sebilah kapak dan kerambit.

Tertuduh, Mohd Amirul Husini, 28, Kamal Abak, 29, dan Reynolds Cassey Julong Patrick, 22, didakwa secara bersama melakukan perbuatan tersebut pada 9 Februari lalu, sekitar jam 5.15 pagi di sebuah kedai di Jalan Song Thian Cheok, di sini.

Semasa melakukan rompakan tersebut, mereka dikatakan mengambil wang dari mesin tunai RM3,273 di bawah kawalan seorang pekerja kedai berkenaan.

Tiga tertuduh yang didakwa merompak kedai keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes.
Tiga tertuduh yang didakwa merompak kedai keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan tidak bersalah direkodkan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh dan menjelaskan kesalahan terbabit tidak boleh diberikan ikat jamin.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu seterusnya hanya diam dan mengangguk faham.

Hakim Afidah Abdul Rahman kemudiannya menetapkan pengurusan kes pada 4 April depan selain memerintahkan kesemua tertuduh untuk terus direman sehingga tarikh berikutnya.

Advertisement