Anda di sini

DUN Selangor tiada kuasa buat perundangan benar Mahkamah Syariah dengar semakan kehakiman

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri  mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia merupakan peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Oleh itu, petisyen oleh SIS Forum (Malaysia) dibenarkan tanpa sebarang perintah mengenai kos," kata Tengku Maimun.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan. 

Tengku Maimun berkata beliau perlu menjelaskan pada awal penghakiman ini bahawa mahkamah itu tidak mengambil kira tentang prosedur atau kesahihan substantif Fatwa dan tidak juga diminta untuk mempertimbangkan sama ada mahkamah secara amnya tidak berkuasa untuk menjalankan penilaian sedemikian di bawah klausa (1A) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata petisyen tersebut hanya melibatkan persoalan sama ada DUN Selangor diberi kuasa untuk menggubal Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Oleh itu, saya tidak membuat sebarang ulasan atau keputusan mengenai kesahihan substantif atau prosedur Fatwa," katanya.

Tengku Maimun seterusnya berkata, mahkamah telah secara berturut-turut dan konsisten dalam keputusannya dalam kes Semenyih Jaya dan kes lain, termasuk Indira Gandhi, bahawa kuasa kehakiman persekutuan kekal hanya di Mahkamah Sivil.

Beliau berkata peguam pempetisyen (SIS Forum) berhujah bahawa semakan kehakiman adalah satu aspek unik dan eksklusif kuasa kehakiman yang diberikan kepada Mahkamah Tinggi Sivil. 

"Peguam itu juga berhujah bahawa Mahkamah Syariah atas dasar perlembagaan, tidak berupaya untuk melaksanakan kuasa kehakiman atas sebab mereka tidak berkongsi jaminan perlembagaan kebebasan kehakiman yang sama seperti Mahkamah Sivil yang tinggi.

"Semakan kehakiman adalah ciri unik bagi Mahkamah Sivil disahkan oleh mahkamah ini yang memutuskan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi," katanya.

Tengku Maimun berkata tidak jelas dalam rekod bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bertujuan untuk meliputi perkara undang-undang Islam sahaja dan bukan perkara dalam bidang undang-undang awam dan/atau kuasa undang-undang awam.

"Apabila peruntukan itu dibuat secara umum, dan tanpa had, mahkamh ini tidak dibenarkan, sama ada untuk meminda atau membuat semula statut itu. Satu-satunya kewajipannya adalah membatalkannya dan menyerahkannya kepada Dewan Undangan Negeri Selangor, jika perlu, menggubalnya semula konsonan dengan perkara 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dan menambah dalam petisyen sekarang tidak dapat berbuat demikian. -BERNAMA

Advertisement