Anda di sini

Keluarga Salvina berangkat ke KL esok untuk bawa balik jasad mendiang

Advertisement
 

SARIKEI: Keluarga mendiang Salvina Chie (gambar), 33, yang dijumpai mati di sebuah bilik hotel di Skudai, Johor akan berangkat ke Kuala Lumpur esok untuk urusan membawa balik jasad mendiang ke kampung halamannya di Rumah Bennet, Bintangor.

Pelubau Chie, 19, adik mangsa yang enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut berkata, kakaknya dijumpai mati pada 16 Februari lalu, jam 2 petang.

Menurutnya, insiden itu disedari pekerja hotel terbabit yang kemudian memaklumkan pihak polis dari Balai Polis Bangunan Taman Ungku Tun Aminah.

Namun demikian katanya, kakaknya disahkan telah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor untuk menjalani proses siasatan lanjut.

"Pada 17 Februari, saya telah menerima panggilan daripada pihak polis agar hadir ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor untuk menjalani proses pengecaman satu mayat wanita yang dipercayai kakak kandung saya.

"Pada jam 3.55 petang hari tersebut, saya telah membuat pengecaman terhadap satu mayat wanita di di Bilik Mayat Sultanah Aminah Johor dan hasil proses pengecaman tersebut, saya telah mengesahkan mayat tersebut adalah kakak kandung saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, pihak perubatan turut memaklumkan punca kematian kakaknya adalah disebabkan lemas, namun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Pelubau berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kematian kakaknya itu kepada pihak polis.

"Esok (Sabtu) jam 10 pagi, kita akan berangkat ke Kuala Lumpur untuk menguruskan proses penghantaran jasad mendiang kakak saya ke Sarawak.

"Jasad mendiang dijangka tiba di kampung sama ada Sabtu atau Ahad ini," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement