Anda di sini

Masuk secara haram, warga asing dipenjara dan disebat

Advertisement
 

MIRI: Seorang pembantu kedai warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan sekali sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.
    
Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
    
Suparmin dari Kalimantan Barat, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan warga negara Malaysia didapati telah masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.    
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.50 petang, 6 Februari lalu di sebuah kedai makan di Jalan Melayu, Centre Point di sini.
    
Sementara di Mahkamah Majistret, Suparmin didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian tanpa mempunyai lesen yang sah.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
    
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan ditempat yang sama.
    
Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement