Anda di sini

AS, Jerman nasihat rakyat keluar dari Ukraine

Advertisement

Belgium dan Belanda juga antara negara Barat yang mengundurkan kakitangan diplomatik dari Kyiv

 Tangkap layar video serahan Kementerian Pertahanan Rusia kelmarin menunjukkan sebuah kapal perang di luar pantai pelabuhan Sevastopol semasa latihan tentera laut di Laut Hitam. - Gambar AFP
ANCAMAN PERANG: Tangkap layar video serahan Kementerian Pertahanan Rusia kelmarin menunjukkan sebuah kapal perang di luar pantai pelabuhan Sevastopol semasa latihan tentera laut di Laut Hitam. - Gambar AFP

KYIV: Amerika Syarikat (AS) dan Jerman kelmarin mengarahkan semua kakitangan sampingan kedutaan di Kyiv untuk meninggalkan negara itu berikutan kebimbangan bahawa ancaman Rusia akan menceroboh Ukraine.

Arahan tersebut turut mengulangi permintaan awal Presiden AS Joe Biden supaya rakyat Amerika segera meninggalkan negara bekas republik Soviet tersebut.

"Jabatan Negara telah mengarahkan kepulangan kebanyakan pekerja AS yang berkhidmat secara terus dari Kedutaan Kyiv disebabkan oleh ancaman berterusan tindakan ketenteraan Rusia,” jelasnya dalam arahan perjalanan yang dikemas kini.

“Jabatan Negara akan menangguhkan perkhidmatan konsular di Kedutaan AS di Kyiv," jelasnya, sambil menambah bahawa satu kehadiran kecil konsular akan dikekalkan di Lviv di barat Ukraine bagi menguruskan perkara kecemasan.

Jerman juga kelmarin menasihati rakyatnya yang tidak mempunyai alasan mustahak untuk tinggal di Ukraine agar meninggalkan negara itu, menyatakan satu konflik ketenteraan yang tidak boleh dielakkan akan bermula pada bila-bila masa selepas Washington memberikan amaran mengenai pencerobohan Rusia.

“Ketegangan di antara Rusia dan Ukraine sekali lagi melonjak sejak beberapa hari lepas susulan pergerakan besar-besaran unit tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine,” menurut kenyataan daripada kementerian luar Jerman.

“Sekiranya anda sekarang berada di Ukraine, pastikan kehadiran anda adalah mustahak.

"Jika tidak, tolong tinggalkan negara itu sekarang,” tambah kenyataan tersebut.

Jerman turut menyatakan ia telah mengurangkan wakil diplomatiknya di Ukraine.

“Kami akan terus membuka kedutaan kami di Kyiv namun akan mengurangkan kakitangan diplomatik,” menurut Menteri Luar Annalena Baerbock ketika lawatan ke Mesir.

Belgium dan Belanda juga antara negara Barat terbaharu yang menasihatkan rakyatnya untuk meninggalkan Ukraine.

Rusia turut mengumumkan ia telah memanggil pulang sebahagian kakitangan diplomatik kerana bimbangkan provokasi Barat atau Kyiv.

Pemimpin Rusia Vladimir Putin berunding dengan Presiden AS Joe Biden dan Presiden Perancis Emmanuel Macron melalui panggilan telefon lewat kelmarin mengenai pengumpulan tentera Rusia dekat sempadan Ukraine.

Biden memberi amaran kepada Putin dalam panggilan telefon selama 62 minit itu bahawa AS akan bertindak tegas dan menetapkan kesan yang pantas dan ketara ke atas Rusia sekiranya menceroboh Ukraine.

Menurut kenyataan daripada Rumah Putih, Biden menegaskan bahawa walaupun AS bersedia untuk meneruskan diplomasi, dalam kolaboratif penuh dengan pakatan dan rakan kongsi, ia bersedia untuk senario lain.

Washington telah menegaskan  ia tidak akan menghantar pasukan tentera AS ke Ukraine dalam kes melibatkan serangan Rusia, bermakna ia tidak akan mampu menguruskan rancangan pemindahan rakyatnya sekiranya peperangan meletus.

Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra ketika mengadakan sidang akhbar mengenai situasi di Ukraine di Bussum, kelmarin menyatakan kabinet menyeru semua rakyat Belanda untuk meninggalkan Ukraine dan syarikat penerbangan Belanda KLM turut menggantung penerbangan ke negara itu sehingga notis lanjut.

Pada awal kelmarin, Rusia menyatakan ia turut mula mengeluarkan beberapa kakitangan kedutaan  dari Ukraine, memetik kebimbangan provokasi yang mungkin daripada rejim Kyiv.

Para penunjuk perasaan di Kyiv menyanyikan lagu kebangsaan dan mengibarkan sepanduk 'Katakan Tidak Kepada Putin' semasa rali kelmarin bagi menunjukkan perpaduan mereka.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, amaran AS mengenai ancaman Rusia ke atas negaranya mencetuskan panik dan menuntut untuk melihat bukti kukuh pelan pencerobohan tersebut.

Namun sejak seminggu lalu, Rusia telah menghantar enam lagi kapal perang ke wilayah tersebut untuk latihan tentera laut yang bermula kelmarin.

Bot-bot peronda dapat dilihat berlabuh dekat pangkalan di pelabuhan Laut Hitam Mariupol, manakala kapal-kapal perang dapat dilihat di luar pantai pelabuhan Crimea Sevastopol.

Tentera Rusia dan Belarus juga mengadakan latihan bersama di padang tembak Gozhsky di wilayah Grodno.

Perkhidmatan media Staf Jeneral Tentera Ukraine pula menyiarkan gambar menunjukkan kawat 24 jam sepanjang 200 kilometer sebagai sebahagian daripada latihan gempur di wilay Chernihiv bermula kelmarin. - AFP

Advertisement