Anda di sini

Tiga suspek bunuh wartawan Mexico ditangkap 

Advertisement
 

BANDAR MEXICO: Pihak berkuasa Mexico kelmarin mengumumkan tiga lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan wartawan Lourdes Maldonado, yang kematiannya pada bulan lepas di bandar sempadan barat barat laut Tijuana mencetuskan kecaman antarabangsa.

Pembunuhan Maldonado, salah seorang daripada beberapa wartawan yang dibunuh di Mexico pada tahun ini, menimbulkan permintaan kepada kerajaan Mexico agar meningkatkan usaha untuk melindungi pekerja media.

Tiga suspek itu ditahan pada Selasa dan Rabu di Tijuana, Menteri Keselamatan Rosa Icela Rodriguez memberitahu wartawan tanpa mengenal pasti mereka.

Maldonado, 67, yang pernah meminta bantuan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador kerana bimbang nyawanya terancam, ditembak mati di dalam keretanya ketika tiba di rumahnya pada 23 Januari.

Timbalan Menteri Keselamatan Ricardo Mejia berkata motif masih belum diketahui namun diharapkan dapat dibongkar sebaik sahaja suspek disoal siasat.

Suspek ditangkap dengan bantuan jiran, yang memaklumkan pihak berkuasa bahawa mereka melihat tiga lelaki itu memandu teksi di sekitar kawasan kediaman mangsa, menurut pihak berkuasa.

Maldonado bekerja untuk beberapa syarikat, termasuk Primer Sistema de Noticias (PSN), dimiliki oleh bekas gabenor wilayah Baja California Jaime Bonilla Valdez, yang menafikan terlibat dalam pembunuhan.

Baru-baru ini Valdez memenangi tuntutan saman terhadap PSN, yang beliau saman selama beberapa tahun kerana pemecatan yang tidak adil.

Maldonado telah diberikan perlindungan polis namun ditarik balik pada November disebabkan oleh perubahan dalam kerajaan negeri di Baja California.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat wartawan terbunuh di Mexico setakat ini pada 2022, menurut badan pemerhati hak asasi media Reporters Without Borders (RSF).

Beberapa hari sebelumnya, jurugambar Margarito Martinez turut ditembak mati di Tijuana. 

Roberto Toledo, seorang rakan usaha sama dengan sebuah laman berita di wilayah tengah Michoacan, dan Jose Luis Gamboa, seorang wartawan dan aktivis media sosial di timur wilayah Veracruz, turut terbunuh pada Januari.

Mexico dianggap sebagai salah sebuah negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan dengan sekurang-kurangnya tujuh wartawan dibunuh pada 2021, menurut RSF, walaupun masih belum jelas sekiranya semua pembunuhan adalah berkaitan dengan kerja mereka. — AFP

Advertisement