Anda di sini

David Arumugam bantu promosi P.Pinang menerusi lagu "Pearl of the Orient"

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Penyanyi legenda kumpulan Alleycats Datuk David Arumugam akan kembali memeriahkan industri hiburan negara menerusi lagu baharunya “Pearl of the Orient” yang turut mempromosikan negeri kelahirannya Pulau Pinang.

Lagu daripada album kompilasi “The Story Pearl of the Orient” yang dilancarkan hari ini itu diterbitkan oleh Persatuan Anak Seni Pulau Pinang (PASPP).

Selain David, anak seni kelahiran Pulau Mutiara iaitu Boy, Aswad AF, Fazlin, Bob Sentuhan, Gee, Jasmin, Faradik, Epol Penang, Kolin, Kamal CRK dan SAM turut menyumbangkan suara untuk album yang memuatkan 12 lagu itu.

Pengerusi Kehormat PASPP Mohd Mazlan Ayob berkata album tersebut merupakan album pertama yang diterbitkan pihaknya bertujuan membantu mempromosikan negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Projek ini bermula hampir dua tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami menghimpunkan anak-anak seni Pulau Pinang termasuk David untuk bekerjasama dalam projek ini," katanya kepada wartawan selepas majlis pelancaran album itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, David berkata dia berehat sebentar daripada dunia seni selama dua tahun selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

"Mazlan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan anak-anak seni Pulau Pinang yang lain bagi menghasilkan album ini dan saya bersetuju dengan harapan lagu ini dapat mempromosi negeri ini kepada pelancong serta membantu anak seni selepas terkesan dengan pandemik," katanya. - Bernama 

Advertisement